Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KM: K'jaan hukum P Pinang dengan batal peruntukan projek kereta kabel

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menyuarakan kekecewaannya berkenaan pembatalan peruntukan persekutuan berjumlah RM100 juta bagi membangunkan sistem kereta kabel di Bukit Bendera.

Chow berkata pembatalan itu pastinya memberi kesan kepada Pulau Pinang.

"Ia bukan saja kesan terhadap penerusan pelan pembangunan Bukit Bendera, tetapi juga ekonomi negeri secara umumnya.

"Kerajaan persekutuan seperti menghukum penduduk Pulau Pinang dengan langkah ini," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau merujuk peruntukan yang diumumkan pentadbiran PH dalam Belanjawan 2020 pada Oktober lalu.

Susulan pengumuman itu, kerajaan negeri telah memulakan kajian pra-kebolehlaksanaan bagi projek tersebut. Menurut Chow, kajian masih dijalankan dan dijangka selesai pada beberapa bulan lagi.

"Semua maklumat, data dan cadangan daripada kajian ini akan digunakan pada masa depan," katanya lagi.

Projek tersebut, yang sebelum ini dijangka bermula tahun ini, mendapat bantana daripada NGO alam sekitar, termasuk Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Aktivis menggesa kajian terperinci terhadap kesan alam sekitar dan sosial projek kereta kabel itu, di Bukit Bendera dan juga Taman Botani, dilakukan sebelum ia diteruskan.

Menurut Chow, ekoran kemerosotan ekonomi akibat pandemik Covid-19, pelaksanaan projek infrastruktur awam akan memberi rangsangan kepada pasaran tempatan, antaranya memberikan peluang pekerjaan.

Katanya, kerajaan negeri akan meneruskan perbincangan dengan kerajaan persekutuan berkenaan perkara itu.

"Kerajaan persekutuan perlu memastikan peruntukan terhadap negeri dinaikkan bagi membantu penduduk mendepani cabaran ekonomi akibat Covid-19," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS