Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bukti tunjuk Jho Low pindah RM10j ke akaun Najib agar cek tak ditendang'

KES SRC NAJIB | Bukti dalam kes SRC International Sdn Bhd tidak menunjukkan bekas perdana menteri Najib Razak terlibat dalam perancangan awal untuk mengambil RM42 juta daripada syarikat itu, kata pasukan pembelaan.

Peguam Farhan Read berkata, sebaliknya bukti menunjukkan ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, yang bertanggungjawab.

Ia termasuklah pemindahan RM10 juta ke akaun Najib pada Februari 2015 bagi memastikan cek yang dikeluarkan Najib tak ditendang.

"RM10 juta seperti dalam transaksi Februari hanya dibuat sebagai susulan kepada perkara yang berbangkit pada 5 dan 6 Februari 2015, dan hanya kerana Jho Low perlu memastikan cek yang dikeluarkan tidak ditolak," katanya ketika prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-54 iaitu bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu dalam keterangannya, berkata akaun Najib sering membuat pengeluaran berlebihan dan Low akan mengendalikan perkara itu.

Berkenaan baki RM32 juta pula, Farhan berkata ia sebahagian daripada traksaksi terbalik yang dibuat atas arahan Jho Low dan untuk kepentingannya "seperti yang dinyatakan pegawai penyiasat".

Sebelum ini, Yu setuju dengan pembelaan bahawa tujuan menterbalikkan transaksi ke akaun Najib itu adalah agar penyata kewangan Putra Perdana Bhd tahun 2014 yang diaudit akan menunjukkan pendahuluan tunai daripada syarikat itu telah dikosongkan.

Joanna Yu

Pembelaan bertegas bahawa Najib tidak sedar tentang RM42 juta, yang berasal daripada SRC, masuk ke akaunnya dan merasakan ia adalah "derma".

"Soalan pendakwaan berkenaan apa lagi sebab untuk RM42 juta dikeluarkan dari SRC adalah bukti mereka gagal membuktikan pecah amanah jenayah dan pendakwaan SPRM di luar keraguan munasabah.

"Andaian tidak memberikan asas dalam undang-undang untuk mengatasi kekurangan bukti," kata Farhan.

Sementara itu, Farhan juga berhujah bahawa tiada perkaitan yang terbukti antara RM42 juta yang didakwa dibawa keluar daripada SRC, pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), dan dua jaminan kerajaan untuk pinjaman tersebut.

Beliau berkata ia daripada bukti lisan oleh seorang pegawai penyiasat ketika pemeriksaan balas, yang dikatakan mengakui bahawa RM42 juta itu bukan dari SRC.

"Maka tiada kaitan jelas antara keputusan yang dibuat mesyuarat kabinet yang membawa kepada pinjaman KWAP dan RM42 juta.

"Kami menegaskan punca sebenar atau kemungkinan bagi transaksi RM42 juta itu tidak dibuktikan," katanya lagi.

Satu daripada tujuh pertuduhan terhadap Najib berkaitan dakwaan salah guna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk melakukan rasuah melibatkan RM42 juta, menerusi penglibatannya dalam keputusan memberikan jaminan kerajaan kepada permohonan pinjaman SRC.

Berhubung dua pertuduhan pecah amanah jenayah, Najib selaku penjawat awam menerusi kedudukan sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, dan penasihat emeritus SRC International, didakwa menyelewengkan RM42 juta daripada jumlah pinjaman RM4 bilion yang diperolehi SRC.

Beliau didakwa melakukan dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd, Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, antara 24 dan 29 Disember 2014.

Bagi pertuduhan pecah amanah jenayah ketiga, Najib didakwa menyelewengkan RM10 juta lagi di tempat sama, antara 10 Februari dan 2 Mac 2015.

Tiga pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS