Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: 277 kes baru, tiada kematian
Diterbitkan:  Jun 4, 2020 5:15 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Setelah sekian lama jumlah kes baru jangkitan Covid-19 kekal pada dua angka, hari ini jumlah itu kembali melonjak kepada tiga angka.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang akhbarnya di Putrajaya, hari ini, berkata sebanyak 277 lagi kes Covid-19 baru dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan adalah sebanyak 8,247.

“Kes penularan tempatan di kalangan warganegara Malaysia adalah hanya empat kes.

“Kes penularan di kalangan bukan warganegara adalah 271 kes, manakala terdapat dua (2) kes import warganegara Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara,” katanya.

Menurutnya, 270 kes di kalangan bukan warganegara adalah daripada Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, di mana ini merupakan sampel ulangan bagi Orang Kena Tahan (OKT) yang dikuarantin di depot tahanan itu.

Mereka, katanya terdedah kepada kes positif sebelum ini. Manakala satu kes bukan warganegara adalah saringan tapak pembinaan di Pudu.

Setakat tengah hari tadi, Dr Noor Hisham berkata, 28 lagi pesakit sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 6,559 orang atau 79.5 peratus.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah sebanyak 1,573 kes.

Beliau juga berkata, sehingga kini, sebanyak enam kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

 

Lihat Komen
ADS