Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
19 kes Covid-19 baru, 13 jangkitan tempatan, 6 import
Diterbitkan:  Jun 7, 2020 5:43 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

Setakat tengah hari tadi, Malaysia mencatatkan 19 kes Covid-19 baru, menjadikan jumlah terkumpul yang dicatatkan adalah sebanyak 8,322 kes.

Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes baru itu terdiri daripada enam kes import dan 13 jangkitan tempatan.

Daripada 13 kes jangkitan tempatan, dua kes melibatkan warga asing, dan 11 melibatkan warga tempatan.

Kesemua mereka sudah diasingkan dan kini sedang menerima rawatan.

Perincian bagi 11 kes di kalangan warganegara ada seperti berikut:

  • Enam (6) kes di Selangor:
    - Dua kes saringan pusat rehabilitasi di Dengkil;
    - Dua kes saringan madrasah tahfiz;
    - Satu kes Orang Kena Tahan (OKT) di Ibu Pejabat Polis Daerah di Sabak Bernam;
    - Satu kes saringan tempat kerja di Klang;
  • Dua kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur:
  • Satu kes di Kluster Pangsapuri Cheras;
  • Satu kes bagi Kluster Gombak (kluster baharu), iaitu saringan kontak rapat kes 7064 dan kes 7246;
  • Satu kes saringan pekerja kilang di Seremban, Negeri Sembilan;
  • Dua kes di Sabah bagi saringan kontak rapat (ahli keluarga) kepada kes 3641 dan kes 4537.

Sementara itu, 39 lagi pulih dari jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 6,674 atau 80.2 peratus daripada keseluruhan kes.

Ini menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia ialah 1,531.

Noor Hisham juga hari ini memaklumkan tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 117 kes.

Lima pesakit kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Noor Hisham ketika sidang medianya di Putrajaya hari ini juga menyorot mengenai perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang akan bermula 10 Jun nanti bagi menggantikan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan sejak 4 Mei lalu.

Jelas Noor Hisham, PKPB dan juga PKPP hanya akan berjaya dengan pematuhan semua pihak terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, dan juga penglibatan komuniti dalam sama-sama membudayakan norma serta kelaziman baru.

"Oleh itu, KKM menyeru masyarakat untuk terus patuh kepada SOP dan kekal waspada bagi memastikan rantaian penularan jangkitan Covid-19 dapat diputuskan dalam komuniti.

"Kita jaga diri kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga komuniti kita, dan kita jaga Negara. Kalau bukan kita, siapa lagi," katanya.


 

Lihat Komen
ADS