Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tujuh kes Covid-19 baru, tidak ada penularan rakyat tempatan
Diterbitkan:  Jun 9, 2020 5:54 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Malaysia hari ini mencatatkan tujuh lagi kes Covid-19 baru. Daripada jumlah itu, enam adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala satu lagi adalah kes penularan tempatan.

Penularan tempatan itu melibatkan seorang warga asing iaitu kes saringan semasa mula berkerja. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia setakat hari ini adalah 8,336 kes.

“Sukacita dimaklumkan bahawa pada hari ini, tiada kes penularan dalam negara dicatatkan di kalangan warganegara Malaysia,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang medianya, di Putrajaya, hari ini.

Ini dianggap satu kejayaan buat Kementerian Kesihatan kerana tidak ada penularan yang membabitkan rakyat Malaysia sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac.

Dr Noor Hisham juga melaporkan jumlah pemulihan Covid-19 tertinggi dalam sehari dengan 281 pesakit dibenarkan pulang.

“Ini merupakan jumlah discaj tertinggi yang pernah dicatat setakat ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,975 kes atau 83.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Oleh itu, katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,244 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak enam kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, hanya satu kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah kekal sebanyak 117 kes atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Mengulas mengenai tiada kes penularan dalam negara di kalangan warganegara, Dr Noor Hisham berkata pencapaian membanggakan itu merupakan hasil kejayaan pelbagai usaha menerusi pendekatan seluruh jentera kerajaan dan masyarakat.

Beliau berkata KKM menggunakan maklumat terbaru daripada jumlah kes harian penularan dalam negara di kalangan warganegara dan membandingkannya dengan graf pemodelan Covid-19 seperti diramal Institut Kesihatan Negara (NIH) dan KKM.

“NIH dan KKM mendapati ia sejajar dengan unjuran kes harian dalam pemodelan itu (kawasan biru). Ini sememangnya menggambarkan impak positif tindakan yang diambil kerajaan serta pematuhan rakyat Malaysia terhadap prodesur operasi standard (SOP) dan saranan yang diberikan kerajaan,” katanya.

Justeru beliau mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia dalam menjayakan pendekatan yang dijalankan kerajaan negara ini dalam membendung penularan jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun menurutnya masyarakat harus kekal waspada dan terus patuh kepada SOP serta saranan yang ditetapkan bagi memastikan tiada peningkatan kes Covid-19 di kalangan masyarakat setempat.

Lihat Komen
ADS