Keng Yaik berundur, Samy kekal
Perkembangan menarik berlaku dalam politik negara semalam - Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik akhirnya bersetuju untuk berundur selepas 26 tahun menerajui parti itu tetapi rakan sejawatannya dalam MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu belum bercadang melepaskan jawatan yang disandang sejak 27 tahun lalu.
Perkembangan menarik berlaku dalam politik negara semalam - Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik akhirnya bersetuju untuk berundur selepas 26 tahun menerajui parti itu tetapi rakan sejawatannya dalam MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu belum bercadang melepaskan jawatan yang disandang sejak 27 tahun lalu.
Laporan akhbar hari ini melaporkan Dr. Lim akan melepaskan jawatannya pada Mac tahun depan untuk digantikan oleh Timbalannya, Tan Seri Dr. Koh Tsu Khoon.
Bercakap dalam sidang media di Ipoh, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi itu berkata, perubahan pucuk pimpinan MIC Sabtu lalu dan penukaran kepimpinan dalam Umno menjadi sumber ilhamnya untuk melepaskan jawatan Presiden Gerakan yang disandangnya sejak tahun 1980.
" Saya ingat sudah sampai masa saya, yang memegang jawatan Presiden selama 26 tahun sejak tahun 1980, menyerahkan tanggungjawab ini kepada timbalan saya sekarang," katanya.
Dr. Lim berkata, mesyuarat agung Gerakan pada 2 September depan akan meminda perlembagaan parti untuk membolehkan timbalan atau Naib Presiden mengisi jawatan Presiden apabila berlaku kekosongan atas sebarang sebab.
" Jika itu dapat dilakukan, tahun depan saya boleh serahkan kepimpinan parti kepada timbalan saya untuk dijadikan pemangku sehingg pemilihan akan datang,"ujarnya.
Menurut beliau lagi, cadangan untuk menyerahkan jawatan Presiden kepada Dr. Koh bukan perkara baru kerana beliau pernah menyuarakannya enam tahun lalu.
Dalam pada itu Samy Vellu pula menegaskan beliau akan hanya berundur apabila tiba masanya. Beliau menang tanpa bertanding jawatan Presiden MIC bagi penggal ke-10 dalam pemilihan baru-baru ini.
" Saya akan berundur apabila tiba masa yang sesuai. Bila sampai masanya kita akan buat pengumuman," katanya semalam pada sidang akhbar selepas majlis penutup Perhimpunan Agung MIC ke-60 di ibunegara.
Menurut beliau, MIC mempunyai cara tersendiri dan pertimbangan mengenai siapa akan menerajui parti telah dibuat sewajarnya.
Samy Vellu memangku jawatan Presiden MIC pada tahun 1979 apabila Presiden ketika itu, Tan Seri Manikavasagam meninggal dunia. Beliau adalah Presiden sebuah parti politik yang paling lama memegang jawatan itu ketika ini.
Menteri Kerjaraya itu pernah dicabar timbalannya, Datuk S. Subramaniam pada tahun 1989 tetapi berjaya mengekalkan jawatannya hingga hari ini.
Sabtu lalu Subramaniam gagal mempertahankan jawatan nombor dua dalam parti itu apabila ditewaskan oleh 'anak didik' Samy Vellu, Datuk G. Palanivel.

