Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pusat urut OKU rayu dibenar operasi, sanggup patuhi SOP

Pengusaha refleksologi dan urut orang kurang upaya (OKU) melihat tiada sebarang masalah sekiranya prosedur operasi standard (SOP) untuk perniagaan mereka beroperasi semula memerlukan garis panduan yang sama seperti kedai gunting rambut dan perkhidmatan lain yang mula beroperasi 10 Jun lalu.

Salah seorang pengusaha pusat refleksologi dan urut OKU di Shah Alam, Reza Farish, 40, berkata dia tiada masalah jika perlu mematuhi SOP penjagaan keselamatan dan kebersihan untuk perniagaannya, bagi membendung wabak Covid-19 kerana ia perkara biasa yang dilakukan sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasa.

“SOP kita memang dari dulu sebelum PKP kami memang ada guna sarung tangan (jika urut kaki), sanitizer (cecair pembasmi kuman), tukar tuala kaki, cadar untuk setiap pelanggan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Riza berkata pada mulanya dia menyangka pusat urutnya termasuk dalam perniagaan yang dibenarkan beroperasi di bawah pelaksanaan perintah kawalan pergerakaan pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun, namun hal yang sebaliknya berlaku.

Dia menyoal mengapa perkhidmatan kecantikan lain yang melibatkan sentuhan boleh beroperasi tetapi pusat refleksologi dan urut dikecualikan.

“Kawan-kawan saya pun ada tanya kenapa saya tak dapat buka bisnes, sedangkan facial (rawatan muka) semua tu boleh buka,” katanya.

Di bawah peraturan baru itu, aktiviti yang dibenarkan termasuk potongan rambut asas dan mencuci rambut, mencukur janggut dan misai, rawatan rambut, manikur dan pedikur serta mencuci dan rawatan muka dengan garis panduan yang ketat.

Untuk rekod, industri perkhidmatan gunting rambut dan salun kecantikan meraih sekitar RM13.5 bilion setahun untuk keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara, di mana Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata sektor itu melibatkan kira-kira 74,500 orang dari 16,728 perniagaan yang berdaftar.

Antara garis panduan tersebut seperti golongan 60 tahun ke atas, berisiko tinggi untuk Covid-19 wajib membuat temu janji untuk memotong rambut dan pekerja perkhidmatan tersebut mesti memakai pelindung muka dan apron pakai buang yang mesti diganti selepas memberi perkhidmatan kepada setiap pelanggan.

Tak kisah kurang pendapatan daripada tiada

Manakala bagi Izadin Abdul Razak, 57, tidak kisah sekiranya segala perkhidmatan harus melalui temu janji terlebih dahulu dan pelanggan untuk sehari mungkin kurang daripada biasa.

“Saya pun memang amalkan appointment (temu janji), dari dulu pun sebelum PKP lagi sebab senang kita nak atur pelanggan.

“Sekarang lebih-lebih lagi elok ada appoinmtent. Mungkin pendapatan kita kurang sikit tapi bisnes berjalan dan pendapatan masuk daripada kosong (ada pendapatan daripada tiada langsung).

“Kita jarakkan pelanggan sikit, lepas setiap pelanggan kita ada masa untuk nak tukar cadar, nak sembur (sanitasi di) bilik, nak basuh tangan atau bersihkan apa yang patut,” katanya yang telah beroperasi sejak tujuh tahun lalu.

Katanya, jika isu risiko bersentuhan menjadi isu menghalang mereka beroperasi, Izudin berkata dia tidak berkira untuk menambah belanja operasi seperti penutup mulut dan hidung atau cecair pembasmi kuman.

“Semua perniagaan di mana terdapat pelanggan keluar masuk ada risikonya. Di pejabat pun mempunyai risikonya (Covid-19).

“Macam urut ni kita kena sentuh badan orang. Kalau kita basuh tangan sebelum dan selepas urut pelanggan, kita galakkan pelanggan pakai mask, dan kita pakai mask, tombol pintu dibersihkan, atau pakai sabun yang kuat sedikit, kita selalu cuci kita punya tandas dan singki-singki semua,” katanya.

Tambahnya, memandangkan wabak koronavirus ini tidak dapat dilihat dan boleh dijangkiti terhadap sesiapa, dia berkata semua orang termasuk pengusaha dan pelanggan perlu menjaga kebersihan dan bertanggungjawab.

Persoal tak benar beroperasi

Pengusaha pusat kesihatan Ayurveda Vijay Anand berkata sebelum ini pun dia hanya menerima pelanggan mengikut temu janji dan tidak berada di kedainya sekiranya tiada pelanggan.

Pemuda berusia 37 yang juga OKU lembam ini menjelaskan perniagaannya itu hanya diusahakan oleh dirinya bersama ibunya yang berusia 65 tahun.

“Jika perlu belanja lebih sedikit untuk kos yang diperlukan SOP nanti pun saya tak kisah. Seperti mana yang dilakukan terhadap salun rambut,” katanya.

Dia turut sependapat dengan senator Ras Adiba Radzi yang meminta kerajaan supaya mempertimbangkan keputusan untuk membenarkan operator perkhidmatan urut dan refleksologi dalam kalangan OKU menyambung semula operasi masing-masing.

“Sangat penting untuk benarkan kami beroperasi sebab kalau salun rambut boleh, kenapa kami yang tak buat sebarang kegiatan terlarang tidak dibenarkan beroperasi?

“Pusat urut OKU, pusat urut Ayurvedik (lakukan perkhidmatan) biasa. Tak lebih daripada itu,” katanya.

Sementara itu, semalam Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) dalam satu kenyataan turut menggesa supaya kerajaan mempertimbangkan pembukaan semula pusat refleksologi dan urut OKU serta menyediakan garis panduan secepat mungkin, untuk mereka beroperasi.

MAB mencadangkan antaranya persatuan itu bersedia membantu mewujudkan panel pakar refleksologi dan urut orang buta untuk berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengkaji atau menyiapkan SOP, serta bantuan kewangan untuk meringankan beban mereka untuk menampung sewa dan bil semasa penutupan perniagaan.

“Kami berharap dapat mewujudkan peluang yang sama bagi masyarakat yang cacat penglihatan untuk menjana pendapatan dalam tempoh yang sukar ini, agar mereka dapat menikmati kualiti hidup yang sama dengan yang celik,” menurut kenyataan tersebut. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS