Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedai gunting rambut, pasar malam dibuka semula dengan SOP ketat
Diterbitkan:  Jun 6, 2020 2:41 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bahawa kedai gunting rambut dan salun kecantikan akan dibenarkan dibuka semula bermula 10 Jun.

Begitu juga, katanya, pasar malam, bazar dan gerai pasar terbuka yang serupa akan dibenarkan untuk dibuka semula mulai 15 Jun.

Ismail mengakui bahawa mungkin ada kebimbangan berhubung perkembangna itu namun beliau yakin akan ada garis panduan yang ketat.

"Kami akan mengambil tindakan sekiranya mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menyorot bahawa industri perkhidmatan gunting rambut dan salun kecantikan meraih sekitar RM13.5 bilion setahun untuk KDNK negara, Ismail Sabri berkata sektor itu melibatkan kira-kira 74,500 orang dari 16,728 perniagaan yang berdaftar.

Di bawah peraturan baru itu, aktiviti yang dibenarkan termasuk potongan rambut asas dan mencuci rambut, mencukur janggut dan misai, rawatan rambut, manikur dan pedikur serta mencuci dan rawatan muka.

Bagi individu yang berumur 60 tahun ke atas, yang dianggap sebagai kumpulan berisiko tinggi untuk Covid-19, adalah wajib bagi mereka untuk membuat janji untuk memotong rambut.

Semasa temu janji, tidak ada pelawat dari kumpulan umur lain yang boleh dibenarkan hadir, katanya.

Sementara itu, bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun, ibu bapa dibenarkan hadir tetapi mereka harus memakai penutup mulut dan hidung serta apron pakai buang.

Bagi pekerja perkhidmatan itu pula, mereka mesti memakai pelindung muka dan apron pakai buang yang mesti diganti selepas memberi perkhidmatan kepada setiap pelanggan.

Setiap pelanggan juga mesti dilengkapi dengan apron pakai buang.

Jelas Ismail, penggunaan semula tuala juga tidak dibenarkan.

Kerusi salun juga mesti dipisahkan dengan jarak minimum dua meter, katanya.

Sementara itu, pasar terbuka dan pasar pagi akan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 11 pagi, sementara pasar malam boleh beroperasi dari jam 4 petang hingga 10 malam.

Bazar pula boleh beroperasi dari jam 5 petang hingga 11 malam, katanya.

Antara SOP yang ditetapkan ialah jarak 1.5 meter hingga 2 meter antara setiap gerai dan lokasi pasar perlu berada di kawasan terbuka dan berpagar.

Kata Ismail, ia bagi mengawal lalu lintas jalan masuk dan keluar dari pasar untuk memastikan ia hanya sehala.

Ismail menjelaskan bahawa hanya ada satu pintu masuk dan satu jalan keluar untuk setiap pasar.

Penjual makanan pula, katanya, hanya akan dibenarkan menjual makanan untuk dibawa pulang oleh pelanggan.

Semua penjual juga mesti memakai alat pelindung diri (PPE), sarung tangan dan topeng muka, tambahnya.

Turut diwajibkan bagi semua vendor dan pelanggan untuk menggunakan aplikasi MySejahtera, kata Ismail lagi.

Lihat Komen
ADS