Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Cara Malaysia tangani krisis 1997 memungkinkan skandal 1MDB berlaku
Diterbitkan:  Jun 14, 2020 12:38 PM
Dikemaskini: 4:43 AM

Cara Malaysia menangani krisis ekonomi Asia 1997 membuka jalan kepada sistem yang akhirnya menyebabkan skandal 1MDB berlaku, kata Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Menurutnya, ketika menyandang jawatan menteri kewangan ketika itu beliau sama sekali tidak menerima cadangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan pembaharuan yang dicadangkannya tidak pernah diterima.

Selaku menteri kanan kata Anwar, beliau "cuba melakukan sebaik yang boleh" dalam mengimbangi harapan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, sambil menegaskan "perkara sebenar walaupun ia tidak popular".

Krisis itu banyak mempengaruhi ekonomi Asia Timur dan Tenggara dari tahun 1997 hingga 1998, bermula dengan penurunan nilai baht Thailand.

Ketika krisis itu, Anwar juga berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dalam penggal pertama Mahathir sebagai perdana menteri di bawah pemerintahan BN. Kejadian itu berlaku sebelum krisis antara kedua pemimpin itu yang mengakibatkan pemecatan Anwar dari kabinet dan akhirnya dipenjara pada tahun 1999.

Anwar membuat kenyataan itu walaupun Mahathir dipuji kerana membawa Malaysia keluar daripada krisis ekonomi serantau dengan menolak saranan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), mengenakan kawalan modal yang ketat dan mengikat dolar AS.

Bagaimanapun dalam kenyataannya baru-baru ini, Anwar menyatakan antara sebab ekonomi Malaysia kini mengalami kemerosotan adalah kerana 'parut kekal pada ekonomi' sebagai akibat daripada tindakan yang diambil selama lebih daripada dua dekad lalu.

Namun, dengan memetik Penilaian Pembangunan Sosio-Ekonomi Boston Consulting Group (Seda) dari 2009 hingga 2019, Anwar menegaskan ekonomi Malaysia nampaknya lembab dibandingkan dengan prestasi negara-negara lain seperti Indonesia dan Vietnam.

"Ada banyak alasan untuk ini yang memerlukan analisis panjang. Namun, saya yakin salah satu faktor utama adalah kesan kekal ekonomi yang berpunca daripada langkah-langkah yang diambil semasa krisis kewangan 1997.

"Dalam lima tahun terakhir, tidak ada satu pun pertemuan yang saya hadiri dengan ahli ekonomi dunia dan pelabur di mana saja, yang mana skandal 1MDB tidak dibangkitkan. Sekiranya anda bertanya kepada saya bagaimana sistem membenarkan 1MDB berlaku - kita rujuk kepada ke tahun 1997.

"Kleptokrasi adalah gejala kegagalan menerapkan struktur reformasi yang mencegah dan mendedahkan penyalahgunaan kuasa dan korupsi," katanya, yang menurutnya adalah pandangan yang turut dikongsi semasa dialog di Sepanyol mengenai masalah itu sebelum ini.

Walaupun mengakui bahawa pemerintah BN kemudian menerapkan langkah-langkah untuk mengatasi krisis ekonomi, termasuk membelanjakan peruntukan dan meningkatkan kadar faedah untuk menyokong ringgit, Anwar mengatakan Malaysia gagal mempengaruhi perubahan struktur untuk meningkatkan ketelusan, dan kebebasan institusi yang relevan.

"Saya tidak pernah menerima cadangan IMF secara terang-terangan, walaupun telah diduga. Yang saya anggap betul dalam penilaian IMF adalah bahawa Malaysia menghadapi krisis keyakinan yang hanya dapat diperbaiki dengan perubahan struktur yang nyata meningkatkan ketelusan, kebertanggungjawaban dan memastikan kebebasan institusi.

"Pada akhirnya pembaharuan yang saya cadangkan pada waktu itu tidak pernah diambil, dan hingga hari ini ia tetap menjadi salah satu dasar penting yang ingin dilaksanakan oleh Pakatan Harapan. Sebaliknya, Malaysia mengikuti kaedah berbeza," katanya.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS