Berita baik untuk orang Islam khususnya pendakwah di Kelantan - mereka akan diberi ganjaran RM10,000 dan beberapa insentif lain jika mengahwini Orang Asli di negeri itu.

Kerajaan Kelantan pimpinan PAS menawarkan insentif berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan pencapaian dakwah di kalangan masyarakat Orang Asli yang setakat ini hanya 2,094 orang yang memeluk Islam berbanding 12,000 Orang Asli yang ada di Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam dan Dakwah Kelantan Hassan Mahmood berkata, insentif lain yang diberikan ialah kemudahan tempat tinggal di perkampoungan Orang Asli, elaun RM1,000 sebulan dan kenderaan pacuan empat roda.

" Kerajaan negeri akan memberi ganjaran RM10,000 kepada orang Islam, khususnya pendakwah, yang berkahwin dengan Orang Asli dalam usaha meningkatkan usaha dakwah di kalangan masyarakat itu di negeri ini,"ujarnya.

Kerajaan negeri juga katanya menyediakan tempat tinggal kepada mereka di perkampungan Orang Asli terutama di Gua Musang dan Jeli bagi memudahkan mereka menjalankan kegiatan dakwah.

"Usaha ini dibuat kerana kerajaan tidak puas hati dengan pencapaian dakwah (dalam kalangan Orang Asli) setakat ini kerana data 2005 menunjukkan hanya 2,094 Orang Asli memeluk Islam berbanding 12,000 orang Asli yang ada di Kelantan," katanya kepada wartawan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri berehat di Kota Baru hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa ganjaran itu juga merupakan sebahagian daripada insentif kepada penggerak masyarakat Orang Asli di dalam Unit Dakwah Orang Asli di bawah Jabatan Agama Islam Kelantan yang baru ditubuhkan.

Menurut laporan Bernama, terdahulu semasa menjawab soalan Mohamad Adhan Kecik (BN-Bukit Bunga), Hassan berkata adalah tidak terlewat menubuhkan unit dakwah itu dalam usaha memperkasakan gerakan dakwah terhadap Orang Asli.

Katanya apabila mereka berkahwin, pendakwah khususnya, yang sebelum ini tidak suka tinggal di kawasan pedalaman dan suka berulang alik, akan diberi tempat tinggal di sana.

"InsyaAllah, kami akan beri ganjaran itu kepada pendakwah lelaki dan wanita," katanya.

Beliau berkata usaha lain yang diambil oleh Jabatan Agama Islam Kelantan bagi meningkatkan kegiatan dakwah di kalangan masyarakat Orang Asli ialah menambah jumlah pegawai dan kakitangan unit dakwah itu setelah melantik pegawai bertaraf S41 dengan dibantu lima penggerak masyarakat dan seorang pembantu tadbir.

Sebelum ini usaha dakwah dalam kalangan Orang Asli dijalankan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sementara itu, Saufi Deraman (BN-Galas) ketika ditemui pemberita, mempersoalkan rasional ganjaran seperti itu dibuat, memandangkan di zaman Rasulullah SAW tidak pernah diamalkan memberi sebarang habuan atau harta jika masuk Islam.

"Bagaimana pula dengan orang Islam di negeri ini? Kenapa mereka yang berkahwin dengan orang India dan Cina tidak diberi ganjaran serupa, mereka juga rakyat Malaysia seperti Orang Asli?," soalnya.