Adun Permatang nafi sokong PN untuk jatuhkan PH Selangor
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Rozana Zainal Abidin menafikan menyokong Perikatan Nasional (PN) seperti ditularkan di media sosial sejak semalam.
Pemimpin PKR itu menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak masuk akal dan mendakwa ia merupakan "propaganda terancang" laskar siber Perikatan Nasional (PN) yang tertekan dengan perkembangan terkini politik di peringkat persekutuan.
"Saya dengan tegas menolak fitnah yang tidak berasas ini dan ingin menjelaskan bahawa sebaran tersebut adalah tidak benar sama sekali.
"Sebaran fitnah murahan ini tidak akan sedikit pun menjejaskan usaha dan komitmen Pakatan Harapan (PH) untuk mengembalikan mandat rakyat dan menyelamatkan negara dari bencana politik PN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rozana dalam kenyataannya juga menyatakan sokongan penuh terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Sebelum ini tular di media sosial berhubung senarai 32 Adun Selangor yang didakwa akan menyokong PN untuk membentuk majoriti mudah dan menjatuhkan PH di negeri berkenaan.
Sabtu lalu, Adun Sementa Dr Daroyah Alwi yang sebelum ini menjawat jawatan timbalan Ketua Wanita PKR mengumumkan keluar daripada parti.
Dua pemimpin Upko yang sebelum ini merupakan sekutu PH dan Warisan turut mengumumkan keluar parti.
Limus Jury (Kuala Penyu) dan James Ratib (Sugut) mengumumkan menjadi wakil rakyat bebas mesra PN.
Laporan dan spekulasi wakil rakyat keluar parti kebelakangan ini dikaitkan dengan usaha PN untuk meraih sokongan menjelang sidang parlimen Julai ini.
Ini demikian kerana PN setakat ini memegang majoriti tipis, iaitu hanya mempunyai 114 sokongan daripada 222 ahli parlimen.

