mk-logo
Berita
Sudah tentu Anwar tidak mahu diperdaya lagi - Umno
Diterbitkan:  Jun 18, 2020 12:02 PM
Dikemaskini: 4:02 AM

Ketika isu penentuan siapa calon perdana menteri Pakatan Harapan Plus (PH Plus) belum disepakati, pemimpin Umno menyifatkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim tidak mungkin mahu diperdaya lagi.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii berkata, sebagai seorang ahli politik sudah tentu Anwar tidak mahu diperdaya lagi setelah beberapa kali terkandas untuk menggapai cita-citanya.

"Dipecat, dipenjara serta dipermainkan dan akhirnya parti beliau menang pada PRU14 yang lalu, namun amat menyedihkan apabila orang yang sama menggagalkan karier politik dan reputasinya pula menjadi perdana menteri lagi.

"Ibarat belum sempat menikmati kemahsyuran dan diangkat menjadi pengganti Dr Mahathir Mohamad untuk kali kedua, tiba-tiba Mahathir meletakkan jawatan tanpa berbincang dengan mana-mana parti komponen PH terlebih dahulu.

“Perkara ini amat mendukacitakan banyak pihak," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Anwar membuat permohonan maaf terbuka kerana belum dapat memuktamadkan calon perdana menteri PH Plus ketika usaha mengambil semula kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) masih menjadi agenda gabungan berkenaan.

Menyatakan permohonan maaf itu secara langsung semalam, Anwar berkata ada pelbagai aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum keputusan mengenainya diumumkan.

Antaranya kata Anwar mengenai prinsip reformasi untuk kepedulian terhadap masalah rakyat, mengembalikan keyakinan pelabur dan menjana semula ekonomi negara.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, dalam wawancara bersama Malaysiakini memberitahu beberapa minggu ini PH dan sekutunya telah meneroka dua kombinasi pilihan bagi jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Kata Loke, dengan pilihan gandingan Mahathir - Anwar itu, mereka menyerahkan kepada presiden PKR berkenaan untuk membuat keputusan sama ada menerimanya atau tidak.

Mengulas lanjut, Mohd Razlan berkata, keputusan DAP dan sekutunya mencalonkan Mahathir sebagai perdana menteri bukanlah satu perkara yang pelik.

"Jika kita lihat penulisan bekas perdana menteri kebelakangan ini, beliau tidak berhenti-henti memuji dan mempertahankan parti DAP.

“Beliau sedang bersungguh-sungguh membuktikan kepada DAP bahawa beliau akan mempertahankan DAP jika diserang oleh PN.

"Sebagai balasan, DAP mencadangkan nama Mahathir sebagai perdana menteri lagi," katanya yang juga naib ketua Umno bahagian Seputeh.

Lihat Komen
ADS