mk-logo
Berita
'Muhyiddin ada dua personaliti' - Dr M ulas dalang Langkah Sheraton

EKSKLUSIF | Ketika perselisihan mengenai rancangan peralihan kuasa antara Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim berlanjutan dalam Pakatan Harapan (PH), sekumpulan pemimpin sedang merancang untuk melakukan rampasan kuasa terhadap gabungan itu.

Lantaran itu, pada bulan Februari, kerajaan PH runtuh berikutan peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri setelah 22 bulan.

Pemimpin berusia 94 tahun itu - yang ingin kembali ke jawatan itu untuk kali ketiga - berkongsi pandangannya mengenai "Langkah Sheraton" yang terkenal semasa wawancara eksklusif bersama Malaysiakini.

Beliau menamakan Muhyiddin Yassin, Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin sebagai 'tiga dalang' di sebalik rampasan kuasa itu.

Mahathir kelihatan berhati-hati ketika memberi pandangannya mengenai Azmin, yang hubungan di antara kedua-dua mereka dapat ditelusuri sejak ahli parlimen Gombak itu masih lagi siswa di Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, Mahathir tidak teragak-agak membidas bekas rakannya di dalam Bersatu malah menuduh Muhyiddin mempunyai dwi identiti perwatakan yang berbeza.

"Saya tak tau Muhyiddin ini cara dia macam itu. Masa bersama dengan kita, baik bukan main selalu bercakap 'saya tak nak jadi perdana menteri, tak nak jadi perdana menteri'.

"Tapi belakang (kemudian) saya pi (pergi) minta orang suruh cabut (pilih) dia jadi calon PM.

"Ini Muhyiddin ada dua personaliti. Satu personaliti yang boleh baca doa, satu personaliti yang menekan orang.

"Sambil baca doa tekan orang. Ini ada konflik dalam diri dia," kata Mahathir.

Berikutan krisis politik selama seminggu, Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri kerajaan Perikatan Nasional yang baru pada 1 Mac.

Beliau kemudian menamakan Azmin sebagai menteri kanan dan Hamzah sebagai menteri dalam negeri.

'Curi 11 ekor ayam, pulangkan seekor'

Mengulas mengenai pihak berkuasa yang menyiasat tokoh pembangkang mengenai isu yang tidak berbahaya, Mahathir menyifatkannya sebagai penyalahgunaan kuasa.

"Jabatan kerajaan bukan tugas untuk menekan musuh-musuh parti. Ini bukan tugas mereka tetapi kita dapati ramai juga mereka yang ikut kehendak PM.

"Saya tak guna macam itu. Saya tak pernah suruh orang tekan sesiapa.

"Sebenarnya semasa saya jadi PM, orang yang dituduh lesap berbilion-bilion ringgit pun bebas ke sana sini kempen," jelasnya merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Mahathir juga menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pelepasan anak tiri Najib, Riza Aziz daripada tuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion), yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Berdasarkan sebahagian penyelesaian, Riza perlu memulangkan aset bernilai sekitar AS$108 juta.

"Sebab sekarang ini kita lihat curi 11 ekor ayam bagi balik seekor. Oh okay, 10 ekor boleh simpan.

"Ini undang-undang baru, jadi apa kita boleh buat," soal Mahathir.

'Dendam terhadap Anwar'

Dr Mahathir mendakwa menteri dalam negeri sekarang cuma mempunyai satu agenda tunggal, iaitu membalas dendam terhadap Anwar.

Hamzah, 63, ialah ahli politik Umno veteran yang terus dilantik sebagai timbalan menteri ketika terpilih anggota Dewan Rakyat pada tahun 2008. Menjelang 2015, beliau naik pangkat menjadi menteri penuh.

Walaupun masa depannya di dalam Umno cerah, Hamzah memilih untuk bergabung bersama Mahathir di dalam Bersatu bersama dengan 10 wakil rakyat lain tahun lepas.

Bagaimanapun, dakwa Mahathir Hamzah tidak suka kerjasama Bersatu dengan PKR.

"Hamzah Zainuddin ini perjuangan dia satu saja - bukan pasal bangsa, agama dan negara. Perjuangannya ialah balas dendam terhadap Anwar Ibrahim.

"Jadi bila dia masuk Bersatu, Bersatu ada dengan PKR. PKR ini pimpinan Anwar. Dia nak supaya bersatu keluar dari Pakatan Harapan supaya Anwar tidak terlibat (dengan kerajaan).

"Itu dia usaha daripada awal. Bila dia keluar daripada Umno, masuk Bersatu, dia merancangkan untuk dapat sokongan daripada Umno dan PAS kepada saya. 

"Gunanya ialah supaya saya akan tinggalkan PH dan sertai dia punya (gabungan) parti baru ini. Ertinya parti baru ini tidak ada Anwarlah.

"Saya kata kepada dia awal-awal lagi. Awak punya matlamat adalah untuk menjatuhkan Anwar. 

"Tapi kami bukan mempunyai matlamat yang sedemikian. Tetapi, dia teruskan usahanya, macam mana nak berpisah dengan Anwar yang mungkin menjadi perdana menteri.

"Dia nak cuba supaya Anwar jangan menjadi perdana menteri. Itu dia tubuh satu parti campuran baru dan nak saya pindah ke situ. Saya tak setuju," katanya.

Ditanya adakah Hamzah ada niat peribadi atau menjadi "kuda Trojan," Mahathir menjawab: "Dua-dua."

"Dia trojan horse yang masuk Bersatu dengan niat jahat," katanya.

'Azmin bantu Muhyiddin, Hamzah'

Mahathir mendakwa Azmin, bekas timbalan presiden PKR, telah membantu Muhyiddin dan Hamzah untuk melaksanakan rancangan mereka tetapi tidak menjelaskan hal itu dengan terperinci.

Peranan Azmin yang paling ketara dalam rampasan kuasa adalah merancang 11 ahli parlimen PKR dan PH berpaling tadah dan mengadakan majlis makan malam bersama ahli politik Umno, PAS dan GPS di Hotel Sheraton di Petaling Jaya pada 23 Februari.

Menjelaskan alasan untuk melantik Azmin, yang pernah berkhidmat sebagai menteri besar Selangor dari 2014 hingga 2018, sebagai menteri hal ehwal ekonomi semasa menjadi perdana menteri PH, Mahathir berkata beliau memerlukan orang yang berpengalaman di dalam kerajaan.

"Jadi melihat dia punyai pengalaman maka saya beri satu jawatan yang kanan juga tapi tak disebut kanan.

"Kita beri pada dia kerana saya berpendapat bahawa kalau diberi arahan untuk memajukan orang Melayu dia mampu menjalankan tugas, itu saja.

"Walau semasa dia bekerja adalah perkara-perkara yang tak diurus dengan baik, tapi bagi saya, menteri mana pun, PM pun, bukan selalunya betul. Ada yang tak betul pun. Ada yang banyak tak betul jadi pencuri pun jadi PM," katanya.

Dr Mahathir berkata Azmin selalu berunding dengannya dalam urusan berkenaan polisi dan Azmin juga selalu meminta nasihatnya berhubung hal ehwal PKR.

"Saya tak campur tangan. Cuma lagi dia datang kadang-kadang dia mintak nasihat saya. Ada sekali yang dia tak nak hadir dalam mesyuarat parti dia, saya kata tak kena, kamu kena hadir. Dia hadirlah.

"Jadi masalah timbul kerana kalau dia keluar daripada parti dia, dia nak masuk Bersatu, susah kerana parti dia akan berpecah.

"Sebab itu saya tak encourage (galakkan) dia suruh keluar dari parti dia," katanya.

Sejak mengekalkan jawatan timbalan presiden PKR pada akhir 2018, Azmin tidak pernah hadir walau pun satu kali mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sehingga Januari tahun ini kerana perbezaan pandangannya dengan Anwar.

Ketika perdebatan berlanjutan mengenai isu peralihan kuasa, Azmin pernah menjelaskan pada beberapa kesempatan bahawa Mahathir perlu diizinkan untuk berkhidmat sehingga habis penggal penuh dan bukannya menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

Malaysiakini telah menghubungi pembantu Muhyiddin dan Hamzah bagi mendapatkan penjelasan.


BACA Bahagian 1: Saya tak pernah mungkir janji, kata Dr M


Lihat Komen
ADS