Para pegawai Jabatan Kastam menggunakan kereta mewah semasa menjalankan operasi bagi melicinkan tugas mereka, bukan untuk berlagak, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.

Menurut beliau, penggunaan kereta mewah bukan kerana mahu mempamerkan imej elit pegawai pengutakuasa Kastam, tetapi kerana tuntutan tugas pegawai berkenaan terutama dalam operasi mencegah penyeludupan.

"Bukan kerana nak `stail' tapi kerana kereta BMW dia boleh bawa laju dan stabil dan ia digunakan untuk aktiviti pengecahan Kastam.

"Jadi ia perlu, kalau naik kereta Kancil, nak kejar kereta yang lebih besar, tak dapatlah," katanya ketika menjawab soalan Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut laporan Bernama, Dr. Wee bertanyakan kewajaran pengggunaan kereta mewah, iaitu kereta hasil rampasan yang digunakan Kastam setelah ia melalui proses perundangan.

Dr Hilmi berkata penggunaan kereta yang dirampas itu juga mengurangkan belanja kerajaan untuk membeli kenderaan baru bagi kegunaan pihak Kastam.

Harga lelong

Ketika menjawab soalan asal Datuk Mohamed Said Yusof (BN-Jasin), Dr Hilmi juga memberitahu, harga lelongan kereta yang dilucutkan hak oleh pihak Kastam ditentukan oleh aktiviti lelongan pembida.

Katanya, bagi memastikan harga yang dilelong sepadan dengan jenis kenderaan, kerajaan ada menyediakan harga jaminan bagi kenderaan itu.

Beliau berkata harga jaminan itu dibuat oleh Jabatan Kerja Raya berdasarkan spesifikasi kenderaan, usia kenderaan dan bentuk fizikal kenderaan itu.

Dr Hilmi menjelaskan setelah kereta yang dirampas selesai menjalani proses perundangan, pihak Kastam akan menetapkan tarikh lelongan dan diiklankan dalam akhbar tempatan untuk tiga hari.

Selepas itu, katanya, satu tarikh untuk membolehkan pembida melihat kereta yang dilelong ditetapkan dan jika bersetuju, pembida tadi akan mengisi borang seterusnya membuat bayaran deposit bagi kereta yang hendak dibida.

"Ini bermakna lelongan yang dibuat memang secara terbuka dan semua pembeli yang berminat ada peluang yang sama," katanya.