Malaysiakini
BERITA

Polis temukan mayat warga emas separuh tertimbus

Bernama

Diterbitkan

Seorang lelaki warga emas ditemukan mati dalam keadaan tertiarap dengan separuh badan tertimbus tanah berhampiran sebuah kolam tadahan hujan milik Jabatan Pengairan dan Saliran di Jalan UP 3/1 Ukay Perdana, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Mohd Azam Ismail berkata rentetan penemuan pada 1.30 tengah hari itu, polis menahan seorang kontraktor berusia 56 tahun dan anak lelakinya berumur 35 tahun yang bekerja sebagai pemandu jengkaut.

Beliau berkata kedua-dua suspek membuat laporan polis berhubung penemuan mayat lelaki berusia 64 tahun tersebut.

Sebelum itu katanya, dua lelaki terbabit mendakwa mencari dan menghubungi mangsa yang juga merupakan pemandu jengkaut dan pekerja kontraktor berkenaan, namun tidak berjawab.

“Polis menemukan mangsa dalam keadaan tertiarap, berpakaian lengkap tidak berselipar dan separuh badan tertimbus dengan tanah,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azam berkata pemeriksaan awal terhadap mangsa menemukan kesan kecederaan teruk pada bahagian badan dan kepala.

“Kedua-dua suspek ditahan dan akan direman di Mahkamah Ampang bagi membantu siasatan kes menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Kata beliau, motif dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras untuk bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Shahrul Nizam di talian 019-8032684 atau balai polis berhampiran,” katanya.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.