Matthias: PM perlu perjelas kekayaan Khairy
Bekas pembantu Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang mempersoalkan bagaimana menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin mendapat RM9.2 juta untuk membeli 3 peratus saham dalam ECM Libra?
Bekas pembantu Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang mempersoalkan bagaimana menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin mendapat RM9.2 juta untuk membeli 3 peratus saham dalam ECM Libra?
Chang, bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir mahu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerangkan bagaimana Khairy mendapat wang tersebut yang akhirnya membuka jalan kepada penggabungan antara ECM Libra dengan kumpulan perbankan, Avenue Capital Resources Bhd.
Khairy, 31, yang juga dikenali dengan panggilan 'KJ' adalah Naib Ketua Pemuda Umno.
"Khairy adalah pemegang saham ECM Libra dan Perdana Menteri adalah juga Menteri Kewangan. Tidakkah ini satu perbuatan rasuah? Apa lagi yang diperlukan sebagai bukti?" kata Chang dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Kuala Lumpur.
Chang, seorang peguam, juga mahu Abdullah menjelaskan spekulasi yang mengatakan Khairy adalah 'Perdana Menteri sebenar' negara ini sekarang.
"Khairy tidak dilantik oleh kerajaan, mengapa dia dibenarkan membuat keputusan yang boleh menjejaskan ekonomi negara?" soal Chang lagi.
Beliau berkata, isu ini membabitkan kewibawaan Abdullah dan oleh itu beliau perlu bersuara dan bukannya menyuruh menteri-menterinya menjawab bagi pihaknya
"Tiada siapa boleh menjelaskan perkara ini kecuali Perdana Menteri sendiri. Khabar angin tersebar ke seluruh negara, ini adalah satu krisis yang serius," ujarnya.
Chang menambah, krisis politik yang berlaku berikutan kritikan Dr Mahathir terhadap pentadbiran Abdullah boleh diselesaikan dalam masa 24 jam jika kerajaan berterus terang dan memberikan jawapan yang memuaskan kepada bekas Perdana Menteri itu.
Bekas pembantu Dr Mahathir itu turut membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang menghamburkan kenyataan keras terhadap bekas Perdana Menteri itu baru-baru ini.
Isnin lalu Nazri dalam sidang media di Parlimen mencabar Dr Mahathir bertindak 'jantan' dengan keluar dari Umno.
Chang berkata, Nazri yang sepatutnya meletakkan jawatan kerana bertindak seperti budak sekolah kerana mahu mencetuskan pergaduhan.
"Jangan cuba berlagak hero, kata-katanya semua tidak berasas. Kenyataan Nazri tidak menjawab soalan-soalan Tun," ujarnya.
Katanya lagi, jika menteri-menteri kabinet bersetuju dengan tingkah laku Nazri terhadap Dr Mahathir itu, ini menunjukkan 'negara ini sudah teruk'. Berita asal

