Dua tokoh utama negara yang sedang 'berkrisis' - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad sedang dan akan berehat di luar negara - ini menimbulkan spekulasi dan tanda tanya.

Perdana Menteri berlepas ke Australia bersama keluarganya dua hari lalu. Laporan akhbar hari ini melaporkan beliau telah selamat menjalani pembedahan resdung hidung di sebuah pusat perubatan di Perth semalam.

Laporan akhbar yang memetik kenyataan keluarga Abdullah menyatakan, pembedahan itu berjalan lancar dan Perdana Menteri dijangka keluar dari hospital esok. Selepas itu Abdullah akan bercuti.

Sementara itu Straits Times Singapura pula melaporkan Dr. Mahathir akan bercuti di Turki dan Greece antara 2 hingga 20 Julai ini.

Bekas Perdana Menteri itu dikatakan bercuti bersama ahli keluarga dan teman rapatnya, jutawan Tan Seri Ananda Krishnan.

Abdullah dijangka akan kembali ke tanah air pada minggu kedua bulan depan.

Resdung adalah penyakit radang ruang udara dalam tulang muka yang bersambung dengan bahagian hidung.

Kedua-dua tokoh ini menjadi buah mulut sejak dua bulan kebelakangan ini apabila bekas Perdana Menteri itu menyuarakan kritikannya terhadap beberapa keputusan dan dasar kerajaan, antaranya pembatalan projek jambatan indah, penjualan syarikat motosikal MV Agusta pada harga 1 Euro dan pengagihan permit import (AP) kenderaan kepada beberapa orang individu.

Dr. Mahathir yang tidak puas hati dengan jawapan-jawapan Abdullah dan para menterinya telah mengadakan 'roadshow' di ibunegara bagi menyuarakan rasa tidak puas hatinya.

Aabdullah bagaimanapun mengambil pendekatan 'membisu', sebaliknya mengarahkan anggota kabinetnya menjawab segala dakwaan mantan Perdana Menteri itu.

Percutian hampir serentak kedua-dua pemimpin ini telah mencetuskan spekulasi kemungkinan mereka mengadakan pertemuan di luar negara bagi menyelesaikan krisis antara mereka.

Seorang tokoh Umno yang enggan dikenali berkata, dalam politik segalanya mungkin dan tidak salah kalau mereka berdua berunding.

"Mungkin kebetulan mereka bercuti serentak. Bagaimanapun adalah lebih baik kalau krisis mereka dapat diselesaikan segera sendiri oleh mereka, tanpa campurtangan pihak ketiga,"ujarnya.