Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis cadang guna akta izinkan buang daerah untuk penganjur lumba haram

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman bercadang menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959 ke atas penganjur perlumbaan haram.

Pengarahnya Azisman Alias berkata langkah itu disaran ekoran kegiatan lumba haram yang semakin berleluasa, justeru melalui Poca penganjur perlumbaan haram boleh dikenakan hukuman buang daerah.

“Tindakan Poca ini juga mampu memberikan kesedaran kepada mereka sebelum berbuat sesuatu yang melanggar undang-undang.

“Lagi pun semua pesalah yang menunggang motosikal secara berbahaya seperti merempit yang ditahan juga akan direkodkan di dalam sistem Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya orang ramai lebih berhati-hati daripada terjerumus dengan aktiviti itu,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata rekod itu akan memberikan reputasi buruk terhadap pesalah terutama golongan muda yang terlibat dalam kegiatan haram tersebut.

"Jadi apabila anak muda yang mempunyai rekod kesalahan berkaitan rempit atau berkaitan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya, sukarlah untuk mereka memohon pekerjaan satu hari nanti kerana dikhuatiri akan ditolak disebabkan rekod yang mereka ada," katanya.

Azisman turut menasihati semua pihak, terutama anak muda, supaya sedar dan berhati-hati agar tidak terjebak dalam kegiatan seperti itu.

Beliau lalu memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan seperti lumba haram kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Azisman juga berkata polis akan meningkatkan pemantauan terhadap mana-mana bengkel atau individu yang didapati terlibat dalam aktiviti mengubah suai motosikal tanpa mengikut spesifikasi yang dibenarkan.

"PDRM difahamkan ada juga yang mengubah motosikal mereka sehingga tidak mempunyai brek demi untuk membuat aksi yang berbahaya," katanya.

Beliau berkata sebanyak 358 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam satu operasi tertutup jabatan itu di Lebuhraya Pantai Timur 1 menghala ke Kuala Lumpur pada kira-kira 2 petang pada Ahad lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS