Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19 sempitkan peluang pelajar buat latihan industri

Selain keluhan pekerja yang menjadi penganggur tiba-tiba akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) selama beberapa bulan sebelum ini, nampaknya, pelajar juga kini berdepan masalah yang lebih kurang sama.

Mereka sukar mencari tempat untuk menjalankan latihan industri.

Ada yang langsung tidak mendapat maklum balas daripada syarikat yang dimohon, tidak kurang juga yang diterima, tetapi kemudian dibatalkan kemasukan pada saat akhir, menyebabkan mereka buntu mahu mencari tempat baru dalam waktu yang singkat.

Berdasarkan tinjauan Malaysiakini, bukan semua bidang pengajian mengalami masalah berkenaan. Antara bidang pengajian yang terkesan ialah sains dan kejuruteraan.

Ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini, pelajar tahun tiga jurusan Sains Fizik Industri dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang hanya mahu dikenali sebagai Erma, berkata dia diterima melakukan latihan industri pada akhir tahun lalu di sebuah syarikat.

Namun, beberapa bulan kemudian, katanya, dia menerima khabar duka apabila kemasukannya dibatalkan gara-gara PKP.

“Pada April saya dapat e-mel daripada syarikat itu bahawa mereka terpaksa tolak saya disebabkan PKP.

“Buat masa sekarang saya masih mohon dan e-mel syarikat-syarikat lain, ada yang tolak oleh sebab yang sama, manakala selebihnya langsung tidak memberikan maklum balas,” katanya yang sepatutnya memulakan latihan industrinya 19 Julai ini sehingga Oktober nanti.

Ramai belum ada tempat

Katanya, daripada 52 orang pelajar dalam kursusnya, ada 28 orang lain lagi belum mendapat tempat untuk latihan industri disebabkan masalah sama, sedangkan waktu latihan industri semakin menghampiri.

Mujurlah, katanya, dia baru dimaklumkan oleh pihak universiti bahawa pelajar yang tidak mendapat tempat dibenarkan mendaftar semester pendek untuk latihan industri.

Berkongsi hal sama, pelajar jurusan sains fizik sebuah universiti di Johor yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata, setelah mendapat tempat di sebuah syarikat pada Disember tahun lalu, ia juga dibatalkan gara-gara wabak Covid-19.

“Mereka memaklumkan pengambilan pelajar untuk latihan industri hanya untuk pelajar tahun empat dan keputusan itu dibuat mengurangkan bilangan kakitangan dan mengamalkan penjarakan sosial.

“Ini sangat mengecewakan dan tidak dapat diterima akal kerana pihak berkenaan tidak memaklumkan hal itu awal,” katanya.

Menurut Siti dia dimaklumkan mengenai pembatalan itu pada Jun lalu sedangkan latihan industri sepatutnya bermula bulan ini.

Kata Siti juga, setakat ini, daripada kira-kira 170 kawannya yang lain, ramai yang masih belum mendapat tempat untuk menjalankan latihan industri.

Namun, dia memaklumkan, setelah menghantar permohonan ke syarikat-syarikat lain, namanya kini sudah disenarai pendek oleh satu syarikat, tetapi setakat ini belum mendapat pengesahan penerimaan.

Kongsi pelajar tahun tiga jurusan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Tun Hussein Onn yang hanya mahu dikenali sebagai Syafik pula, pihak universiti membatalkan latihan industri untuk semua pelajar jurusannya dan ditangguh ke tahun akhir nanti.

Dia yang sudah mendapat panggilan temu duga latihan industri sebelum notis penangguhan dikeluarkan pihak universiti pada pertengahan April, bagaimanapun memandangnya sebagai satu hikmah yang mungkin memberikan kelebihan buatnya di kemudian hari.

“Apabila ditangguhkan, mula-mula rasa macam leceh sebab nanti nak kena buat balik semuanya.

"Tapi difikir balik, apabila tangguh ke tahun akhir, mungkin dari tempat latihan industri itu boleh diserap terus masuk kerja.

“Jadi macam ada baiknya jugalah di situ,” katanya yang sepatutnya memulakan latihan industri 10 minggu bermula bulan Jun hingga Ogos nanti.

Industri paling terkesan Covid-19

Pensyarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Adi Azriff Basri, yang juga penyelaras latihan industri untuk jabatannya mengakui masalah yang disuarakan oleh pelajar-pelajar berkenaan.

Malah, kongsinya, ada pelajar di jabatan lain yang berputus asa setelah permohonan mereka tidak mendapat maklum balas atau berturut-turut ditolak oleh syarikat.

Keadaan itu, kata Adi Azriff, menyebabkan ramai juga pelajar terbabit mengambil keputusan membuat latihan industri pada semester lapan, iaitu pada tahun akhir.

Meskipun alternatif itu dibenarkan, kata beliau, pelajar yang ramai menangguhkan latihan industri ke tahun keempat gara-gara Covid-19, masih perlu berdepan saingan sengit daripada pelajar-pelajar tahun ketiga yang akan turut memohon tempat nanti.

Untuk 60 orang pelajar di bawah jabatan terbabit, mereka bernasib baik kerana dia sejak awal berperanan aktif membantu mencari tempat untuk pelajar-pelajarnya dengan menghubungi sendiri pihak industri.

Itu pun katanya, dia turut berdepan masalah pembatalan atau pengurangan tempat yang sebelum itu telah diberikan oleh syarikat kepada pelajar-pelajarnya.

Lebih-lebih lagi, industri penerbangan adalah antara industri yang paling terkesan gara-gara Covid-19 dan PKP.

Namun, kongsi Adi Azriff lagi, dia bersyukur lebih 70 peratus pelajarnya telah berjaya mendapatkan tempat untuk latihan industri.

Bagi pemain industri pula, masalah itu sememangnya tidak dapat dielakkan memandangkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat yang harus dipatuhi, termasuklah soal penjarakan sosial.

Bagi jurutera sebuah syarikat minyak dan gas di Kemaman yang hanya mahu dikenali sebagai Syafiq, meskipun syarikat dibenarkan beroperasi secara penuh di bawah PKP pemulihan (PKPP), syarikat masih mengamalkan sistem giliran bagi mematuhi SOP, yang menyebabkan tempat sangat terhad.

Maka, keutamaan kini diberikan kepada pekerja sedia ada syarikat berkenaan.

“Jika nak masuk kerja, kena buat ujian Covid-19. Untuk pelajar praktikal, macam mana mereka nak buat tuntutan untuk kos ujian itu?” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, masih ramai pekerja di syarikatnya yang masih menunggu giliran untuk membuat ujian berkenaan, memandangkan keutamaan diberikan kepada kumpulan berisiko.

Selain itu juga, katanya, kini sesiapa yang ingin masuk bekerja semula juga perlu membuat bermacam-macam pengisytiharan menerusi bermacam-macam borang.

Syarikatnya kini hanya membenarkan pelajar yang sudah memulakan latihan industri sebelum PKP untuk kembali bekerja, manakala pengambilan untuk pelajar baru dibekukan sehingga suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Lihat Komen
ADS