Malaysiakini
BERITA

Nak 'pajak gadai' jawatan PM perlu dapat persetujuan akar umbi - Puad

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Jul 2020, 4:29 pagi

Seorang lagi pemimpin Umno dilihat tidak bersetuju dengan parti itu yang secara prinsip bersetuju agar Muhyiddin Yassin menjadi calon perdana menteri bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Mohd Puad Zarkashi berkata, sebarang keputusan untuk "memajak gadai" jawatan perdana menteri kepada Bersatu perlu mendapat persetujuan akar umbi Umno terlebih dulu.

"Cukuplah Umno dijadikan pajak gadai oleh mereka yang melompat masuk Bersatu kerana mengejar jawatan menteri, timbalan menteri dan peruntukan pembangunan.

"Umno kena beringat, konsensus MT dan pandangan ahli di bawah perlu dihormati. Keputusan besar seperti memajak gadai jawatan perdana menteri kepada Bersatu perlu mendapat persetujuan dari akar umbi.

"Jangan apa yang terjadi kepada PH terjadi kepada Muafakat Nasional (MN). Apatah lagi rakyat masih tertanya-tanya Muhyiddin Yassin, Dr Mahathir Mohamad ini kawan atau lawan," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Pada 2 Julai lalu, Setiausaha Bersama Sekretariat MN Annuar Musa berkata Umno dan PAS secara prinsip bersetuju untuk terus menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri bagi menghadapi PRU15.

Annuar berkata, keputusan itu telah dibincang dalam satu mesyuarat bersama.

"Untuk pilihan raya akan datang, secara prinsipnya kedua-dua parti telah bersetuju untuk menamakan atau menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin sebagai calon perdana menteri seterusnya," kata Annuar.

POLITIK PAJAK GADAI UMNO tidak boleh dijadikan pajak gadai kerana jawatan Perdana Menteri. Cukuplah UMNO dijadikan...

Posted by DrPuad Zarkashi on Sabtu, 4 Julai 2020

Bagaimanapun kenyataan Annuar itu mendapat reaksi kurang senang di kalangan segelintir pemimpin Umno termasuk pemimpin veterannya, Shahrir Samad yang berpandangan masih banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum menetapkan perkara itu.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin pula berkata parti itu tidak harus terburu-buru mengehadkan pendiriannya walaupun ketika ini Muhyiddin yang dinamakan sebagai calon.

Puad berkata lagi, tidak masuk akal dua parti - merujuk kepada Umno dan PAS - yang mempunyai kira-kira lima juta ahli sanggup menyerahkan jawatan berkenaan kepada parti yang menurutnya kecil.

"Justeru cadangan Abdul Hadi dan Annuar Musa itu (berkenaan pencalonan Muhyiddin) seolah-olah jawatan perdana menteri boleh dipajak gadaikan," katanya lagi.

Kata bekas anggota Parlimen Batu Pahat itu, Umno perlu melihat apa yang terjadi kepada DAP dan PKR yang "memajakgadaikan" jawatan perdana menteri kepada Bersatu.

"Akhirnya mereka yang kena gadai. Maka jika pemimpin tidak mampu fikir, bagi akar umbi yang fikirkan," katanya lagi.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.