Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wee: MB Pahang cadang tukar jajaran ECRL balik ke asal
Diterbitkan:  Jul 5, 2020 10:54 PM
Dikemaskini: 2:56 PM

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong hari ini berkata cadangan untuk mengembalikan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) balik ke jajaran asal datang dari Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

"Kami mengadakan pertemuan bulan lalu yang dihadiri oleh menteri-menteri besar negeri yang terlibat.

"Semasa kami membincangkan penjajaran baru, kerajaan Pahang menyarankan untuk kembali ke penjajaran asal. 

"Menteri besar Pahang yang membangkitkan perkara itu," katanya pada wawancara dengan 8TV.

Wee berkata belum ada keputusan muktamad dibuat tetapi memaklumkan beberapa perkara mengenai bagaimana penjajaran asal di bawah BN dapat memenuhi permintaan logistik dan keperluan penduduk dengan lebih baik.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Berdasarkan penjajaran asal BN, ECRL akan melalui Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum memasuki Selangor dari utara melalui Gombak dan menuju ke Serendah dan Pelabuhan Klang.

Pentadbiran PH ketika itu mengubah jajaran itu supaya tidak melalui Bentong dan Gombak seperti yang direncanakan pada awalnya. Ia bertujuan mengelakkan pembinaan terowong sepanjang 17.8km yang mahal melalui Ridge Quartz Klang Gates, khazanah alam semulajadi rabung kuarza tulen terpanjang di dunia.

Sebaliknya, dari Mentakab ia menuju ke selatan melakui Kuala Klawang di Negeri Sembilan sebelum memasuki Selangor melalui Bangi/ Kajang dan kemudian menuju ke Putrajaya Sentral dan akhirnya ke Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, Wee berkata terdapat keperluan yang lebih mendesak untuk menghantar kargo dari utara berbanding di selatan ke Pelabuhan Klang.

Menurutnya, hal ini kerana kargo di selatan akan menggunakan pelabuhan lain seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

Sekiranya ECRL melalui Gombak, jelas Wee ia akan memungkinkan integrasi dengan sistem aliran KTM dan LRT.

'PH jimat sebab kurang skop kerja'

Katanya lagi, penduduk Bentong lebih ramai berbanding Kuala Klawang.

Wee berkata terdapat keperluan untuk memastikan muatan dan penumpang mencukupi supaya ECRL tidak menjadi projek gajah putih.

Ditanya sekiranya penukaran laluan itu boleh menyebabkan kos pembinaan ECRL meningkat, Wee berkata penjimatan yang diperolehi kerajaan PH sebelumnya sebahagian besarnya adalah daripada pengurangan skop kerja.

Mengenai kemungkinan berlaku kelewatan akibat pertimbangan balik ke cadangan laluan asal, Wee berkata pembinaan Pakej A (Kota Bharu ke Dungun) dan Pakej B (Dungun ke Mentakab) ECRL sedang berjalan.

Beliau berkata perbincangan mengenai sama ada mengambil jalan utara atau selatan adalah untuk Pakej C, dari Mentakab ke Pelabuhan Klang.

Perdana menteri PH, Dr Mahathir Mohamad ketika itu berpendapat bahawa penjajaran baru akan memberikan integrasi yang lebih baik terhadap jalur pengangkutan sedia ada.

"Dengan jajaran baru ini Laluan Ekspres KLIA (ERL) yang sedia ada, serta laluan MRT2 Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya pada masa depan, membolehkan lebih banyak negeri mengambil bahagian dalam manfaat ekonomi hasil daripada perjanjian yang ditambah baik itu.

"Ini akan menambah baik sistem ketersambungan penumpang di kawasan lain di pantai barat semenanjung di samping menyediakan rangkaian terus ke KLIA," katanya.

Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) juga dijangka melalui kawasan Putrajaya/ Bangi.

Ditambah dengan beberapa perubahan lain termasuk pengurangan stesen dari 24 menjadi 20, PH telah mengurangkan kos projek daripada RM66.5 bilion kepada RM44 bilion.

Awal hari ini, Anggota Parlimen Umno Jalaluddin Alias mahu Putrajaya mengekalkan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diusahakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi menghubung laluan ke arah selatan Lembah Klang menerusi Negeri Sembilan.

"Tidak ada sebab mengapa ia perlu diubah kembali.

"Kita tetap mahukan projek ECRL itu melalui Jelebu memandangkan kebanyakan penduduk di daerah ini juga tidak sabar menanti projek berkenaan," katanya.

Sementara itu, exco kerajaan Negeri Sembilan Teo Kok Seong berkata beliau telah mewakili menteri besar Aminuddin Harun dalam mesyuarat Rancangan Fizikal Nasional pada 11 Jun lalu dan telah menyuarakan bantahan mengenai penjajaran semula ECRL.

Menurutnya, Negeri Sembilan akan mempertahankan jajaran ECRL sedia ada yang dicadangkan pentadbiran PH dahulu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS