Malaysiakini
BERITA

MP Umno mahu jajaran ECRL rentas Jelebu cadangan PH dikekalkan

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Jul 2020, 12:40 tengahari

Anggota Parlimen Umno Jalaluddin Alias mahu Putrajaya mengekalkan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diusahakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi menghubung laluan ke arah selatan Lembah Klang menerusi Negeri Sembilan.

Ia susulan perbincangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengembalikan jajaran projek ECRL mengikut cadangan pertama di bawah kerajaan BN di mana ia akan merentasi sebelah utara Lembah Klang melalui Gombak dan Serendah ke Pelabuhan Klang.

"Kita menyambut baik apabila jajaran ECRL yang baru itu melalui Jelebu kerana ia akan menjadikan daerah ini semakin maju dan tidak ketinggalan berbanding daerah lain. Tidak ada sebab mengapa ia perlu diubah kembali.

"Kita tetap mahukan projek ECRL itu melalui Jelebu memandangkan kebanyakan penduduk di daerah ini juga tidak sabar menanti projek berkenaan," katanya seperti dipetik portal BH Online hari ini.

Jalaluddin berkata, beliau turut difahamkan cadangan untuk mengembalikan semula jajaran ECRL mengikut pelan asal itu cuma sekadar pandangan Menteri Pengangkutan, Dr Wee Ka Siong.

Semalam, mingguan perniagaan The Edge Malaysia melaporkan bahawa Putrajaya sedang membincangkan berkenaan kemungkinan untuk mengembalikan jajaran ECRL seperti yang dicadangkan pentadbiran BN dahulu.

Laporan tersebut, memetik sumber pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd, sebagai berkata bahawa ketua projek telah mencadangkan pengembalian pelan asal terutamanya melibatkan Bahagian C yang merupakan bahagian di Lembah Klang yang menghubungkan ke Pelabuhan Klang.

Rabung kuarza tulen terpanjang di dunia

“Cadangan itu dibincangkan oleh mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin,” kata sumber tersebut.

Berdasarkan pelan asal jajaran tersebut oleh BN, ECRL itu akan melalui Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum menuju ke Selangor melalui Gombak dan ke Serendah serta Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, PH mencadangkan jajaran ECRL itu tidak melalui Bentong dan Gombak seperti yang dirancang, sekali gus mengelakkan keperluan untuk terowong 17.8km yang memakan kos tinggi melalui Klang Gates Quartz Ridge, khazanah alam semulajadi rabung kuarza tulen terpanjang di dunia.

Berdasarkan jajaran ECRL unjuran PH, dari Mentakab ECRL tersebut akan bergerak ke arah Selatan ke Kuala Klawang di Negeri Sembilan sebelum memasuki Selangor dari Bangi/ Kajang terus menghala ke Sentral Putrajaya dan berakhir di Pelabuhan Klang.

Kuala Klawang merupakan pekan di Jelebu.

Perdana Menteri PH – pada ketika itu - Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa cadangan kedua itu dapat memberikan jalur pengangkutan dengan lebih baik.

“Jajaran baru akan akan memanfaatkan KLIA Express Rail Link (ERL) yang ada, serta jalur MRT2 Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya yang akan datang, dengan persimpangan di Putrajaya Sentral.

“Ia juga akan menambah baik hubungan penumpang dari Semenanjung Selatan, malah memberikan kemudahan terus ke KLIA,” katanya.

Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura yang dirancang juga dijangka melintasi kawasan Putrajaya / Bangi.

Dengan perubahan lain termasuk pengurangan stesen dari 24 ke 20, pentadbiran PH telah mengurangkan kos projek daripada RM66.5 bilion menjadi RM44 bilion.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.