Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nga: Kami akan berundur secara terhormat jika disingkirkan
Diterbitkan:  Jul 7, 2020 8:32 PM
Dikemaskini: 12:37 PM

Nga Kor Ming berkata beliau tidak akan duduk walau lebih dari seminit jika disingkirkan daripada jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat, menerusi usul yang dibawa kerajaan Perikatan Nasional pada sidang Parlimen pada 13 Julai ini.

Dalam wawancara bersama media bahasa Cina hari ini, Nga berkata ini kali pertama seorang perdana menteri mahu menyingkirkan speaker dan timbalan speaker ketika pertengahan penggal.

"Kami akan biarkan dewan tentukan, kami akan hormati keputusan Dewan Rakyat. Jika kami disingkirkan, kami akan berundur secara terhormat," katanya yang juga timbalan setiausaha agung DAP.

"Saya benar-benar berharap Dewan Rakyat akan bersidang secara terhormat Isnin ini," katanya lagi, ketika ditanya sama ada beliau menjangkakan berulangnya insiden ketika krisis Perak, apabila speaker Pakatan Rakyat V Sivakumar diheret dari kerusi speaker pada Mei 2009.

"Jika ia berlaku, maka ia satu penghinaan kepada Parlimen," katanya berdasarkan rakaman audio yang diperolehi Malaysiakini.

"Jangan bimbang, jika Dewan Rakyat meluluskan usul yang kami harus berundur, saya tidak akan duduk walau lebih seminit (sebagai timbalan speaker)."

Antara tumpuan pada sidang Dewan Rakyat minggu depan adalah berkenaan usul tersebut yang difailkan Muhyiddin bulan lalu.

Muhyiddin juga dilaporkan telah menghantar notis mencalonkan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun sebagai speker baru, manakala anggota parlimen Pengerang Azalina Othman Said dicalonkan sebagai timbalannya.

Menurut Nga lagi, dia dan Mohamad Ariff Md Yusof tidak meletakkan jawatan sehingga sekarang kerana kedudukan itu diputuskan oleh cabang legislatif dan bukannya eksekutif.

"Kami tidak mengambil arahan daripada perdana menteri. Speaker ada tanggungjawab untuk menegakkan martabat cabang legislatif," katanya.

Ditanya berkenaan usul tersebut akan diluluskan Dewan Rakyat, beliau berkata: "Tunggu dan lihat. Saya tak boleh dedah terlalu banyak buat masa ini."

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS