PU 06 syor tubuh forum hal ehwal Islam
Persidangan Ulama 2006 (PU 06) yang berlangsung di Kedah Sabtu lalu menyatakan kekesalan terhadap kerajaan kerana membiarkan pihak tertentu terus menerus menjatuhkan kredibiliti institusi agama Islam.
Persidangan Ulama 2006 (PU 06) yang berlangsung di Kedah Sabtu lalu menyatakan kekesalan terhadap kerajaan kerana membiarkan pihak tertentu terus menerus menjatuhkan kredibiliti institusi agama Islam.
Pengarah persidangan itu, Azmi Abdul Hamid di dalam kenyataannya menyatakan, pihak berkuasa membenarkan institusi agama termasuk institusi Mufti dan Mahkamah Syriah diserang tanpa henti-henti apabila kedua-dua institusi itu memberi pandangan mereka.
Menurut beliau, segala serangan terhadap institusi agama Islam itu bertujuan memburuk-buruk imej institusi berkenaan dan menghilangkan keyakinan serta hormat masyarakat terhadap agensi-agensi berkenaan.
Sehubungan itu persidangan tersebut menggesa sesiapa sahaja yang ingin memberi pendapat terhadap apa jua persoalan yang berkait dengan Islam tidak menggunakan media massa untuk menegelakkan kekeliruan.
" Kami mencadangkan sebuah forum khas ditubuhkan supaya sebarang pendapat mengenai Islam yang hendak diketengahkan dibawa ke forum tersebut. Anggota forum boleh dianggotai oleh mereka yang pakar mengenai Islam,"kata Azmi.
Persidangan itu juga menggesa kerajaan tidak membiarkan hak umat Islam diganggu dan dicabar oleh golongan sekular-liberal.
Rumusan lain yang diputskan di persidangan itu ialah mendesak kerajaan memberi perhatian serius kepada kumpulan Artikel 11 yang jelas cuba membenarkan hak murtad kepada orang Islam.
"Persidangan berpendapat usaha pihak berkenaan untuk memberi hak murtad kepada sesiapa sahaja atas alasan kebebasan dan hak asasi manusia adalah satu percubaan terang-terangan untuk campurtangan dalam urusan agama Islam,"kata Azmi lagi.
Kumpulan Artikel 11 juga menurut Azmi cuba meminda perkara 121 (12A) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan keputusan Mahkamah Syariah dicabar di mahkamah sivil.
" Dengan berusaha meminda akta berkenaan mereka berharap kedudukan Islam atau tidaknya seseorang serta semua hal-hal berkaitan dengan hukum Islam tidak hanya terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syriah.
Ini bermakna martabat Mahkamah Syriah ditutut kembali kepada kedudukan sebelum tahun 1988 iaitu berada di bawah mahkamah sivil,"jelasnya lagi.
Persidangan itu menyatakan niat sebenar kumpulan berkenaan adalah untuk meminggirkan undang-undang Islam dan menjadikan kedudukannya di kelas kedua, di belakang undang-undang sivil.
.

