Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
3 kes baru, kes penularan tempatan 'telur' - Dr Noor Hisham
Diterbitkan:  Jul 8, 2020 5:46 PM
Dikemaskini: 11:54 AM

Hanya terdapat tiga kes baru Covid-19 yang dilaporkan hari ini, dengan semua daripadanya adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 setakat ini kepada 8,677 kes.

“Sukacita dimaklumkan bahawa tiada kes penularan di dalam negara yang dilaporkan pada hari ini.

“Ketiga-tiga kes baru yang dilaporkan adalah kes import di kalangan warganegara Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara,” katanya pada sidang akhbarnya di Putrajaya, hari ini.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memaparkan slaid gambar 'telur' bagi menggambarkan penularan dalam negara sifar.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai lima lagi pesakit telah pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 8,486 kes, iaitu 97.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 70 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, terdapat dua pesakit yang kini diletakkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan seorang daripada diberikan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dicatatkan sekali gus menjadikan jumlah maut akibat wabak itu, kekal 121 kes untuk 24 hari berturut-turut.

“KKM dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa, kluster Covid-19 terbesar di Malaysia, iaitu kluster perhimpunan Seri Petaling adalah diisytihar tamat pada hari ini.

“Kluster ini besar kemungkinan berpunca dari luar negara dan kemudiannya tular di dalam komuniti melalui aktiviti perhimpunan secara besar-besaran melalui kontak rapat kes yang positif.

“Penularan jangkitan Covid-19 melalui kluster ini telah menular ke seluruh negara Malaysia,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 8 Julai lalu, sejumlah 42,023 individu telah disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah itu, seramai 3,375 kes positif telah dilaporkan iaitu 38.9 peratus daripada jumlah kes positif Covid-19 di negera ini.

Beliau juga memberi perincian kluster dan subkluster di bawahnya yang dikesan di tujuh negeri.

“Kebanyakan kes positif kluster ini adalah tidak bergejala iaitu, 2,187 kes atau 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif kluster ini.

“Seramai 87 pesakit telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah ini, 29 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

"Seramai 3,341 individu telah sembuh, justeru ini menjadikan kadar pesakit yang telah sembuh 98.9 peratus. Tiada lagi kes aktif dalam kluster ini,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS