Jabatan Audit Negara akan mengemukakan laporan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam mesyuaratnya yang akan datang berhubung bayaran pampasan RM360 juta yang dituntut oleh Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB) kerana pembatalan projek jambatan indah.

"Kami telah diminta memeriksa sama ada terdapat kes-kes bayaran pampasan serupa pada masa lalu...jadi kami sedang memeriksa," kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penganugerahan sijil program anak angkat kepada 12 jabatan dan agensi kerajaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, beliau berkata, tugasan tersebut bagaimanapun tidak termasuk mengaudit tuntutan berkenaan.

Ditanya sama ada RM360 juta itu satu jumlah yang wajar, Ambrin enggan mengulas, tetapi sebaliknya berkata: "Ia tidak adil kepada saya kerana saya belum melihat butiran (yang terperinci) lagi."

"Apa yang saya perasan ialah (tuntutan) sekarang...jumlahnya sangat besar, jadi saya tidak pasti sama ada terdapat tuntutan yang jumlahnya sebesar itu pada masa lalu," tambahnya.

Perbandingan pampasan

Menurut laporan Bernama, semalam, PAC meminta Ketua Audit Negara meneliti kewajaran pembayaran pampasan RM360 juta itu berikutan pembatalan projek pembinaan jambatan indah bagi menggantikan Tambak Johor.

Pengerusi PAC, Datuk Shahrir Samad berkata Ketua Audit Negara boleh membuat perbandingan dengan jumlah pampasan yang pernah dibayar oleh kerajaan sebelum ini bagi menentukan kewajaran jumlah tuntutan GPSB itu.

Kerajaan sebelum itu menganggarkan pampasannya berjumlah kira-kira RM100 juta.

Mengenai kewajaran jumlah pampasan itu, Ambrin berkata, menteri berkenaan telahpun mengatakan bahawa pegawainya sedang meneliti perkara itu.

"Saya yakin mereka akan bekerja secara profesional dalam menyemak tuntutan itu. Sesiapa juga boleh membuat apa-apa tuntutan, jadi terpulanglah kepada pegawai-pegawai yang berkenaan untuk menyemak setiap butiran tuntutan itu.

"Jika tuntutan itu dapat dibuktikan kewajarannya, terpulanglah kepada kerajaan sama ada hendak melayan tuntutan itu mengikut jumlah yang dituntut oleh mereka," kata beliau.