Paling Popular
Terkini

ULASAN | Kejayaan Tabung Haji (TH) mencatatkan peningkatan keuntungan sebanyak RM1.25 bilion pada setengah tahun pertama 2020 adalah bukti kejayaan penstrukturan semula yang diilhamkan oleh Pakatan Harapan (PH).

Bukan itu sahaja, nilai aset TH sebanyak RM78 bilion juga kini kembali lebih tinggi berbanding liabilitinya, dengan lebihan sebanyak RM1.9 bilion, walaupun sebelum Mei 2018 ia ditinggalkan oleh BN dalam keadaan defisit.

Dalam tempoh hampir dua tahun pemerintahan PH, pelbagai pembaharuan dan kejayaan dicapai. Kadar pengangguran secara amnya telah menurun ke lingkungan 3.2 peratus hingga 3.3 peratus bagi setiap suku, berbanding 3.4 peratus hingga 3.5 peratus pada suku tahun 2016 hingga 2017 di bawah BN.

PH juga memperkenalkan kembali subsidi petrol yang dimansuhkan oleh Najib Razak pada 2014. Ini membantu secara signifikan terhadap usaha mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat, khususnya untuk golongan B40 dan M40.

Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) juga menunjukkan keutuhan yang signifikan pada kadar 4.8 peratus pada 2018 dan 4.3 peratus pada 2019 walaupun dalam keadaan ekonomi global yang lembap.

Kebajikan sosioekonomi rakyat terus dibela oleh PH menerusi inisiatif-inisiatif seperti i-Suri yang mewujudkan skim KWSP berserta insentif untuk suri rumah, mengembangkan skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkoeso) kepada pekerja ekonomi gig dan memperkenalkan gaji minimum RM1,200 di bandar-bandar besar.

Kerajaan PH juga memperkenalkan dua skim kesihatan yang sangat penting untuk golongan B40 iaitu Skim Perlindungan Kesihatan (PeKa) dan MySalam, iaitu skim insurans yang menyediakan perlindungan untuk 45 penyakit kritikal.

Pembangkang nilai pengurusan kerajaan

Pelaburan langsung asing yang diluluskan juga mencapai tahap paling tinggi dalam sejarah ketika pemerintahan PH. Pada 2019, nilainya ialah RM82.4 bilion, manakala pelaburan domestik mencecah RM125.5 bilion.

Bukan itu sahaja, pelaburan di tiga subsektor pemangkin iaitu elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan serta kimia, dan dua bidang pertumbuhan tinggi iaitu industri aeroangkasa dan alat perubatan, menyaksikan pertumbuhan 90.2 peratus kepada RM40.9 bilion pada 2019.

Usaha PH mewujudkan persekitaran mesra perniagaan (business friendly) diiktiraf oleh Bank Dunia, apabila ranking Malaysia dalam indeks Doing Business 2020 meningkat ke kedudukan ke-12, iaitu lebih tinggi berbanding negara-negara lain seperti Jerman, Kanada dan Finland.

Dari aspek memastikan pengurusan fiskal yang lebih telus supaya kesilapan ketika pemerintahan BN tidak diulangi, kerajaan PH mengemukakan maklumat mengenai hutang yang dijamin kerajaan dan liabiliti kontinjen dalam Laporan Tinjauan Fiskal negara.

Selain itu, kerajaan PH juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang turut dianggotai wakil pembangkang untuk menilai belanjawan dan pengurusan kewangan kerajaan. Penilaian belanjawan pertengahan tahun turut dibentangkan ke jawatankuasa ini.

Selain TH, PH telah mengambil beberapa keputusan strategik untuk memulihkan dan memantapkan institusi-institusi lain seperti Khazanah Nasional, Felcra dan FGV Holdings.

Hasilnya, Khazanah mencatatkan untung daripada operasi terbesar dalam sejarah pada 2019 iaitu RM7.4 bilion. Selain itu, usaha diambil untuk merombak strategi pelaburan Khazanah yang sebelum itu berisiko tinggi kerana hampir 80 peratus hingga 85 peratus nilai pelaburan tertumpu pada sembilan dan 10 syarikat saja.

Bagi Felcra pula, program transformasi perniagaan diperkenalkan untuk mengurangkan beban hutang dan kerugian yang dialami oleh institusi tersebut, dan ini dijangka membuahkan hasil bermula 2021.

Di peringkat Felda dan FGV pula, program transformasi yang bermula pada suku ketiga 2018 membantu memantapkan operasi, menamatkan ketirisan dalam pembelian dan memulihkan pendapatan syarikat.

Saya yakin dasar-dasar urus tadbir baik, telus, bersih dan cekap yang diperkenalkan oleh PH akan terus membuahkan hasil positif jika inisiatif-inisiatif berkenaan tidak diganggu oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Institusi-institusi penting negara perlu dipertahankan daripada kembali dibelenggu oleh pengurusan yang lemah dan korup seperti sewaktu ia di bawah BN.

Namun, ketidakstabilan politik kerajaan PN yang tidak mempunyai mandat yang sah daripada rakyat dan hanya memiliki majoriti tipis di Parlimen tidak mampu menarik keyakinan pelabur yang boleh menjejaskan sektor perniagaan dan pekerjaan dalam negara.


FAIZ FADZIL ialah Adun Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS