Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP sedia bantuan undang-undang pada Adun Kepayan
Diterbitkan:  Jul 24, 2020 8:23 PM
Dikemaskini: 12:23 PM

DAP akan memberi dukungan dan bantuan kepakaran undang-undang kepada semua wakil rakyatnya di Sabah yang menurutnya diganggu dan diugut, ketika spekulasi usaha jual-beli wakil rakyat sedang bertiup kencang di Sabah.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, ini ekoran Adun Kepayan yang juga pembantu menteri Sabah, Jannie Lasimbang kini diancam untuk dikenakan tindakan undang-undang kerana dikatakan mendedahkan usaha menariknya keluar parti.

“DAP amat berbangga bila wakil rakyat kami secara terbuka mencela ejen-ejen politik ini dan meminta ejen-ejen ini agar tidak lagi mengganggu mereka lagi kerana pimpinan DAP bukan katak yang boleh diperdagangkan.

“[...] Saya telah meminta peguam-peguam kanan DAP iaitu Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo dan Pengerusi Biro Guaman DAP, Ram Karpal untuk memberikan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Borneo Today kelmarin melaporkan Jannie didatangi ejen politik yang mendakwa mereka mewakili anak lelaki bekas ketua menteri Sabah, Anifah Aman, bagi meyakinkannya untuk meninggalkan DAP dan menyertai pembangkang di negeri itu.

Ekoran laporan berkenaan, tiga anak lelaki Anifah, semalam dilaporkan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Jannie atas dakwaannya itu, dan menafikan "terlibat dengan sebarang cara sekali pun" dengan dakwaan berkenaan.

Menerusi peguam, mereka dilaporkan menghantar notis kepada Jannie dan portal tersebut, menuntut tuduhan itu ditarik balik selain membuat permohonan maaf.

Sementara itu, Lim yang juga anggota parlimen Bagan menambah, DAP mempertahankan tindakan Jannie yang menolak politik wang dan tawaran jawatan bagi mengkhianati mandat yang telah diberikan oleh rakyat Sabah.

Tambahnya, Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal juga ada memberikan amaran bahawa jentera negara telah dimanipulasikan untuk menakutkan wakil rakyat dan menggalakkan pengkhianatan bagi menjatuhkan kerajaan negeri, sekaligus mendirikan sebuah kerajaan negeri baru yang menyokong kerajaan persekutuan.

“[...] Malah ada yang sanggup menawarkan sejumlah RM32 juta selain jawatan timbalan ketua menteri.

“Bagi membuktikan jentera kerajaan tidak digunakan sebagai alat politik, tindakan tegas harus diambil terhadap saudagar katak dan ejen politik ini,” tambahnya lagi.

Lihat Komen
ADS