Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Tenaganita menyifatkan perjanjian persefahaman mengenai pengambilan pembantu rumah yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dan Indonesia sebagai 'lemah'.

Tenaganita mahukan beberapa perincian dibuat bagi memastikan hak pembantu rumah Indonesia dilindungi secukup dan sedailnya.

Pengarah Tenaganita, Irene Fernandez berkata, kedua-dua kerajaan patut memperincikan syarat-syarat pengambilan dan pekerjaan pembantu rumah dalam mesyuarat mengenai MOU itu pada 20 Julai ini.

Di bawah MOU yang ditandatangani di Bali pada 13 Mei lalu, majikan Malaysia dikehendaki menandatangani perjanjian dengan pembantu rumah Indonesia mereka berhubung gaji.

Bagaimanapun menurut Fernandez, butir-butir dalam perjanjian itu tidak khusus termasuk tidak menyatakan kadar gaji minima yang patut dibayar kepada pembantu rumah Indonesia.

"Ini tidak adil bagi pembantu rumah berkenaan kerana paras minima juga tidak dinyatakan, ini adalah salah."

"Apa yang dibayar kepada pembantu rumah Indonesia sekarang adalah antara gaji yang terendah. Hanya RM350 dan ini adalah tindakan tidak berperi kemanusiaan terhadap para pembantu rumah berkenaan," tegasnya kepada malaysiakini.

Beliau berharap mesyuarat mengenai MOU tersebut pada 20 Julai itu akan menangani isu ini.

Pengarah Tenaganita itu juga mahu aspek pelindungan dan istilah 'pekerja domestik' yang diberikan kepada pembantu rumah turut diberi perhatian dalam mesyuarat tersebut.

"Contohnya, istilah 'pekerja domestik' dibezakan dari istilah 'pekerja' yang terdapat dalam Akta Pekerjaan kita. Pembantu rumah Indonesia ini tidak dilindungi oleh akta berkenaan kerana mereka hanya 'pekerja domestik' dan tidak diiktiraf sebagai 'pekerja'," jelas beliau.

Oleh itu Fernandez mahu istilah 'pekerja domestik' disamakan dengan istilah 'pekerja' sebagaimana yang terdapat dalam Akta Pekerjaan bagi memastikan mereka turut mendapat perliundungan di bawah akta tersebut.

Selain itu katanya, perkara berkaitan hak asasi manusia seperti perlindungan dari keganasan dan kebajikan di tempat kerja tidak disentuh secara jelas dan mendalam dalam MOU berkenaan. Berta asal