18 lagi menteri belum jelas saman RM115,000
Lebih separuh daripada 32 menteri kabinet mempunyai saman kesalahan lalulintas dengan jumlah denda sekurang-kurangnya RM115,680.
Lebih separuh daripada 32 menteri kabinet mempunyai saman kesalahan lalulintas dengan jumlah denda sekurang-kurangnya RM115,680.
Berdasarkan kepada semakan ' online' di lamanweb rilek.com.my , mendapati 18 menteri mempunyai 918 saman terkumpul, antaranya sejak beberapa tahun yang lalu, dengan sebahagian besarnya kerana kesalahan memandu melebihi had laju.
Daripada jumlah itu, 472 saman membabitkan empat menteri. Mendahului senarai tersebut ialah Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, dengan 143 saman dan belum menjelaskan denda sebanyak RM17,460.
Saman terawalnya ialah bagi kesalahan memandu melebihi had laju di Petaling Jaya pada 5 Januari 1999 menggunakan kenderaan milik kerajaan (WP1818), manakala saman terbaru dikeluarkan pada 8 Jun di Shah Alam, juga bagi kesalahan yang sama.
Beliau diikuti oleh Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, dengan 121 saman yang belum dibayar berjumlah RM15,200 sejak tujuh tahun lalu.
Dibelakang beliau adalah Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr Fong Chan Onn yang belum menjelaskan denda berjumlah RM15,230 bagi 115 saman yang dikeluarkan sejak 21 Mei 2001 hingga April tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamed Khaled Nordin pula belum menjejaskan 93 saman berjumlah RM12,190 sepanjang tempoh tujuh tahun yang lalu.
Menteri 'bersih'
Hanya lima menteri yang tidak mempunyai saman bagi kesalahan lalulintas. Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Maximum Ongkili dan Datuk Abdullah Md Zin; Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique; dan Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor (foto)
Tiga orang lagi menteri telah membayar denda mereka selepas berita mengenainya disiarkan.
Mereka ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (11 saman); Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sharizat Abdul Jalil (23 saman), dan Menteri Perdagangan Luar Negara dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz (10 saman).
Manakala Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman, yang menerima 28 saman bagi kesalahan lalulintas, masih belum menjelaskan enam lagi saman.
Malaysiakini tidak dapat memperolehi maklumat mengenai enam lagi menteri, manakala senarai ini tidak termasuk timbalan menteri dan setiausaha parlimen.
Bagaimanapun, kompaun maksimum dikurangkan bagi para menteri. Sebagai individu, mereka perlu membayar jumlah penuh sebanyak RM277,300.
Lebih RM2.82 bilion denda kesalahan lalulintas belum dijelaskan antara 2001 hingga 2004 membabitkan 9.4 bilion pemandu di seluruh negara. Polis sedang melancarkan Ops Warta IV sehingga 5 Ogos depan bagi mengesan mereka yang belum menjelaskan saman tersebut.
Report this comment


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.