Malaysiakini
BERITA

Jangan terlalu banyak main politik - Azmin Ali

Diterbitkan
Dikemaskini 1 Ogs 2020, 7:46 pagi

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menasihati pihak yang berkenaan agar tidak terlalu banyak “bermain politik” kerana fokus kerajaan sekarang ialah kesihatan rakyat dan ekonomi negara.

Katanya pihak yang berkaitan juga harus mencontohi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak begitu banyak berbicara mengenai politik memandangkan keutamaan beliau ialah untuk selamatkan ekonomi negara dan kesihatan rakyat.

“Kita hari ini meletakkan isu kesihatan rakyat dan isu ekonomi sebagai fokus ... jangan main politik banyak sangat sebab rakyat perlu pembelaan dan ini juga fokus perdana menteri, beliau jarang sebut tentang politik kerana mandat yang diberikan kepadanya ialah untuk selamatkan ekonomi negara dan selamatkan rakyat daripada diserang wabak Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas program Korban Perdana Penggerak Komuniti Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin juga menegaskan kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Umno tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN) tidak menjejaskan kerajaan semasa.

Ini kerana katanya Umno kekal mendukung kepimpinan Muhyiddin untuk terus menerajui kerajaan persekutuan di bawah PN.

PN merupakan kerjasama politik melibatkan Bersatu, Umno, PAS serta parti komponen Barisan Nasional selain disokong oleh Gabungan Parti Sarawak.

Sementara itu, mengulas kenyataan Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar bahawa Muafakat Nasional Selangor telah menyelesaikan 90 peratus agihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, Mohamed Azmin berkata isu tersebut belum dibincangkan bersama PN.

"Saya telah dimaklumkan perkara ini, tetapi perbincangan ini dibuat pada tahun lepas sebelum ada PN, tidak mengapalah, sebelum ada PN mereka bincang dengan MN (Muafakat Nasional). Itu benda yang logik, sekarang sudah ada PN kita kena bincang secara bersama, belum ada pilihan raya, tak bincanglah, pilihan raya lambat lagi," katanya.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.