Malaysiakini
BERITA

Tiga kali gajah 'singgah' di gerai buah - Peniaga

Diterbitkan
Dikemaskini 1 Ogs 2020, 9:40 pagi

Seorang peniaga wanita kerugian hampir RM2,000 selepas buah-buahan dan gerai miliknya dirosakkan oleh gajah liar sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu.

Kejadian serangan gajah liar di sebuah gerai di Batu 6 Perani, Kota Tinggi, malam tadi yang menjadi tular di media sosial adalah kali ketiga dialami peniaga buah-buahan, Sumini Rebo.

Sumini, 52, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.30 malam dan kehadiran gajah berkenaan disedari oleh seorang pelanggan di gerainya.

“Saya tidak perasaan gajah ada berhampiran gerai saya. Pelanggan yang membeli buah-buahan di gerai saya yang beritahu ada dua ekor gajah dekat gerai saya. Bimbang dengan keselamatan, saya dan pelanggan terus lari menyelamatkan diri,” kata Sumini ketika ditemui Bernama di tapak gerainya, hari ini.

Menurutnya, insiden pertama serangan gajah berlaku pada Isnin lalu dan disusuli kejadian kedua pada hari berikutnya.

“Dalam kedua-dua kejadian lepas, ia (gajah) hanya datang memakan buah-buahan sahaja di gerai pada lewat malam (kira-kira jam 11 malam) tetapi malam tadi, ia bukan setakat memakan buah tembikai malah bertindak agresif sehingga merosakkan sebahagian gerai saya.

“Saya berharap kerajaan akan bertindak segera mengatasi isu serangan gajah ini demi keselamatan kami peniaga di sini,” katanya.

Malam tadi, tular di media sosial beberapa rakaman video yang memaparkan seekor gajah berkeliaran di jalan raya di Kota Tinggi, pada waktu puncak dan menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa memperlahankan kenderaan demi keselamatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban, ketika dihubungi, berkata pihaknya percaya bahawa gajah dalam insiden malam tadi adalah gajah yang sama menyerang seorang pengawal keselamatan hingga maut pada 27 Julai lepas.

"Berdasarkan jejak dan ukuran saiz tapak kaki gajah berkenaan yang menyerang gerai buah itu, kami syaki ia adalah gajah yang sama menyerang pengawal berkenaan.

“Justeru itu, pengguna jalan raya dinasihatkan jika terserempak dengan gajah di laluan Kota Tinggi-Mersing, berilah keutamaan untuk ia lalu (melintas) dan tidak mengambil gambar dan video kerana ini akan mengganggu haiwan berkenaan,” katanya.

- Bernama


Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.