Malaysiakini
BERITA

Pakai pelitup muka, jaga kebersihan, amal penjarakan fizikal - KP Kesihatan

Diterbitkan

Penggunaan pelitup muka perlu diamalkan bersama penjagaan kebersihan tangan dengan kerap dan penjarakan fizikal yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelasnya, terdapat dua jenis pelitup muka yang boleh digunakan bagi tujuan pencegahan jangkitan Covid-19 iaitu pelitup muka perubatan dan pelitup muka bukan perubatan.

"Pelitup muka perubatan seperti pelitup tiga lapisan, digunakan oleh petugas kesihatan; orang awam yang mempunyai gejala saluran pernafasan; golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas (iaitu mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas); dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

"Penggunaan pelitup muka bukan perubatan disyorkan untuk mereka yang tidak mengalami gejala namun berada di tempat-tempat di mana penjarakan fizikal sukar diamalkan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik yang dijual di pasaran mungkin tidak menepati ciri-ciri yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), namun boleh dipakai orang awam tetapi keberkesanannya mungkin berbeza bergantung kepada jenis dan bilangan lapisan kain yang digunakan.

"Adalah diingatkan bahawa pelitup muka tidak boleh dikongsi dengan orang lain. Semua pelitup muka perlu dipakai dan dilupuskan dengan cara yang betul.

"Pelitup muka tidak boleh dipakai oleh kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua tahun, bagi mereka yang sukar bernafas dan individu yang tidak sedarkan diri, kurang berupaya atau tidak dapat menanggalkan pelitup muka tanpa bantuan," katanya.

Dr Noor Hisham menyeru masyarakat supaya memberi kerjasama penuh kepada kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19 menggunakan peribahasa 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh' dalam penentuan kejayaan atau kegagalan Malaysia berdepan masalah itu yang melanda di seluruh dunia.

Peringatan itu susulan arahan kerajaan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak tumpuan umum, bermula hari ini yang merupakan antara strategi membendung penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Individu yang ingkar arahan itu bakal berdepan hukuman denda RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan