Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Banyak perkara baik dari Top Glove, dunia jangan pandang serong'

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali menggesa supaya dunia tidak memandang serong terhadap pembuat sarung tangan getah Top Glove berhubung kontroversi yang melanda syarikat tersebut.

Sebaliknya, Mohd Khairuddin menyarankan supaya sumbangan syarikat tersebut kepada dunia dihargai terutamanya dalam penghasilan sarung tangan ketika krisis penularan wabak Covid-19.

Beliau menyentuh isu mengenai yuran pengambilan pekerja yang belum dibayar dan kebajikan pekerja di Top Glove.

“Top Glove beri jaminan bahawa segala isu tentang pekerja telah diselesaikan oleh Top Glove.

“Itulah komitmen yang dinyatakan Top Glove kepada kami dan kita harap agar dunia mendengar penjelasan Top Glove dan tidak lagi memandang tidak baik, sedangkan banyak perkara yang baik yang berjaya dikemukakan oleh Top Glove sebagai syarikat besar Top Glove di dunia, untuk Covid-19, menerusi usaha sediakan sarung tangan,” katanya pada sidang media di bangunan parlimen hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) telah menguatkuasakan arahan sekatan terhadap dua subsidiari pembuat sarung tangan terbesar di dunia, Top Glove Corp Berhad dalam usaha untuk menghentikan import barangan daripada dua syarikat tersebut yang disyaki mengamalkan buruh paksa.

Berhubung isu berkenaan pembayaran yuran pengambilan pekerja yang didakwa belum dibayar, Mohd Khairuddin menjelaskan hal tersebut sebagai perkara lama dan Top Globe telah menyatakan komitmen untuk mengatasai isu-isu berbangkit.

“Apa yang dibangkitkan ialah tentang penglibatan syarikat dengan isu-isu libatkan pekerja asing dan penjelasan yang diberikan syarikat oleh kami untuk nyatakan bahawa segala yang dibangkitkan akan cuba diusahakan sebaik mungkin oleh Top Glove,” kata Mohd Khairuddin.

Top Glove juga sebelum ini dilaporkan berkata anggaran jumlah yang tidak dibayar adalah kira-kira RM20 juta hingga RM50 juta.

Pengerusinya, Lim Wee Chai turut hadir sama pada sidang media itu. Beliau memberi jaminan bahawa anggaran jumlah yang tidak dibayar itu akan diselesaikan secepat mungkin.

Jelas Lim, beliau juga yakin bahawa isu sekatan kastam Amerika Syarikat dapat diselesaikan pada Ogos ini.

“Progres berjalan dengan sangat baik. Dalam bulan Ogos ini akan diselesaikan,” katanya apabila ditanya mengenai status rundingan berhubung sekatan kastam AS. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS