Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PULASAN | Seorang ibu sedang menyiapkan masakan untuk hidangan tengah hari apabila dia melihat ke arah anak perempuannya yang membantu di dapur.

"Kamu mabuk ke?" tanya si ibu.

"Ish! Taklah!" jawab anak perempuan itu, "mengapa?"

"Kamu potong sayur dengan kad kredit!" sergah si emak.

Untuk memikat hati lelaki - kata orang bestari - ialah menerusi perutnya. Maka seorang wanita yang baik biasanya juga seorang tukang masak yang cekap dan lihai.

Kebahagiaan juga sering berkait rapat dengan perut. Kadang-kadang saiz perut juga boleh menjadi penanda aras terhadap kehidupan seseorang. Walaupun ada ketikanya saiz perut bukan penentu nafsu seseorang, selalunya perut jugalah yang akan dirujuk untuk menelek susah senang hidup manusia.

Pun begitu sebagai manusia yang baik, kita perlu akur dan faham bahawa daripada semua keutamaan yang ada, keutamaan teratas untuk umat Melayu di negara ini ialah memastikan perut 'saudara' kita sentiasa penuh.

Lebih-lebih lagi jika orang itu ialah pemimpin Melayu.

Justeru apabila ada pihak mempertikaikan mengapa duit yang begitu besar dibelanjakan untuk jamuan makan tengah hari segelintir ahli parlimen bersama speaker Dewan Rakyat baru-baru ini, kita perlu berasa marah.

Ia bukan sekadar perut semata-mata, sebaliknya turut mencabar maruah kita sebagai bangsa Melayu. Apa salahnya untuk orang bergelar seperti perdana menteri, menteri kanan, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan yang dipertua badan bebas makan-makan bersama?

Semua wajib digembirakan

Mengapa ada manusia yang berasa sakit hatinya melihat orang kenamaan begitu bergembira, berlawak bertepuk tampar dan berceloteh sambil menghirup kuah patin tempoyak?

Bukannya selalu orang kenamaan itu dapat menikmati hidangan sedemikian. Biasanya mereka hanya makan nasi berlauk garam saja hampir setiap masa.

Ada kemungkinan besar semasa makan itu, entah berapa suap saja yang masuk ke tekak masing-masing kerana terlalu sibuk memikirkan cara membangunkan negara dan membela kita.

Tambahan pula sesetengah daripada mereka ke sana dan ke sini dengan poket yang dipenuhi habuk dan debu saja. Wang tunai yang ada dalam poket masing-masing selalu saja terhad kerana ia disalurkan kepada orang lain.

Di sana ada wakil penduduk setempat atau pengundi yang perlu dipayung. Di sini pula ada ketua-ketua dan setiausaha bahagian yang perlu diteduhkan jiwa masing-masing. Kalau turun padang berjumpa rakyat, akan ada permintaan itu ini.

Semuanya mesti digembirakan. Jika tidak negara akan berdepan bermacam bahaya. Ancaman kuasa asing atau gugatan bom nuklear, misalnya.

Ketahuilah betapa terseksanya untuk orang terpilih itu menjadi perdana menteri dan menteri. Pedulilah sama ada menteri kanan, kiri atau tengah. Begitu juga menjadi pengerusi GLC. Semuanya tidak mudah.

Sebelum ini mereka bermati-matian menolak jawatan tersebut. Khabarnya selepas diugut itu dan ini barulah ahli-ahli parlimen itu bersetuju menerima tawaran menjadi menteri atau pengerusi GLC tersebut.

Kita - rakyat ini - yang hidup menggoyang kaki sejak celik mata sejak sebelum subuh hingga sesudah tengah malam perlu berlapang dada melihat hidangan ikan kerai goreng dan udang galah berselerak di atas meja itu.

Jika masih berasa marah, tarik nafas dalam-dalam dan bertenang. Lihat senarai harga yang dipaparkan pada resit berkaitan. Semuanya dikenakan caj yang murah.

Lebih daripada itu, lauk-pauk dan ulam-ulaman seperti udang galah, ikan kerai dan patin tempoyak itu cumalah hidangan orang yang melarat hidupnnya. Kita yang kaya-raya ini bersyukurlah dapat menikmati ikan sardin, ikan kembung dan telur mata kerbau sembilan kali seminggu.

Dan seperti yang dinyatakan di atas, untuk menambat hati seseorang, perlulah dilunakkan perutnya.

Perjuangan belum selesa

Ahli-ahli parlimen dan pegawai kanan Dewan Rakyat itu wajib dipastikan terus sanggup menggalas amanah yang diberikan rakyat. Jika kelaparan, bagaimana mereka dapat terus berbakti kepada negara?

Bukankah memang itu maksud kita mengundi mereka pada 9 Mei 2018 dulu?

Pertama, membawa mereka ke parlimen. Kedua, memastikan mereka menggalas tugas yang maha berat sebagai pengerusi GLC. Ketiga, memastikan ahli-ahli parlimen berkenaan mendapat gaji sekupang dua. Dan keempat, menunjukkan kepada kita bagaimana hidup dengan penuh tawaduk dan mengekang segala nafsu untuk bermewah-mewah.

Sementara menunggu parlimen dibubarkan, biarkan mereka hidup menderita begitu. Perjuangan kita belum selesai. Apabila tiba masa untuk mengundi lagi, kita perlu lebih berani dan gigih membawa tokoh berwibawa sebegitu untuk terus diseksa dengan jawatan besar di GLC atau kabinet.

Untuk penutup, hayati cuplikan daripada carian di Google ini:

Seorang profesor sedang menikmati hidangan tengah hari apabila ada pelajar yang dibencinya datang dan duduk semeja. Lalu profesor itu pun berkata: "Babi dan burung tak boleh makan bersama."

Lalu pelajar berkenaan bangkit dan - sebelum berpindah ke tempat lain - membalas: "Baiklah, saya akan terbang ke meja lain."

Apabila di hujung pengajian, profesor tersebut - yang masih menyimpan dendam - melihat keputusan peperiksaan pelajar yang dibencinya itu. Pelajar terbabit lulus dengan cemerlang. Maka sempitlah peluangnya untuk membalas dendam.

Namun dia tetap tidak berputus asa. Dia memanggil pelajar berkenaan dan bertanyakan soalan.

"Ada dua beg ditinggalkan di jalan. Satu penuh dengan wang dan satu lagi sarat berisi kebijaksanaan. Mana satu yang kamu pilih?" tanya profesor tersebut.

"Beg berisi wang," jawab si pelajar dengan penuh yakin.

Profesor tersebut tersenyum lebar. Pintu membalas dendam terbuka luas di depannya.

"Saya fikir beg berisi kebijaksanaan lebih baik," kata profesor.

Pelajar itu menjawab dengan selamba: "Saya tahu. Orang selalu memilih sesuatu yang tak mereka miliki."

Khalas.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak menggambarkan pendirian rasmi portal berita ini.

Lihat Komen
ADS