PKR mencadangkan agar kerajaan menambah sebanyak 20 peratus peruntukan serta bilangan kakitangan kesihatan awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memperkukuh lagi usaha menangani wabak Covid-19.

Presidennya Anwar Ibrahim dan bekas timbalan menteri kesihatan merangkap jurucakap kesihatan PKR Dr Lee Boon Chye dalam satu kenyataan bersama berkata, meskipun kakitangan KKM telah menjalankan tugas dengan cemerlang dalam menangani wabak itu, lebih banyak dapat dicapai dengan "campur tangan dan dukungan politik dan kerajaan".

“Peruntukan untuk kesihatan awam dan juga pegawai-pegawai yang relevan wajar ditambah dan ditingkatkan dalam usaha dan upaya kita memerangi kemelut yang berpanjangan.

“[...] Kami menggesa agar peningkatan sebanyak 20% kepada kedua-dua kos operasi dan juga jumlah staf untuk kesihatan awam untuk tempoh dua tahun mendatang,” kata mereka.

Menurut mereka, berdasarkan Belanjawan 2020, bahagian kesihatan awam menerima peruntukan sebanyak RM5.66 bilion daripada jumlah peruntukan operasi KKM iaitu sebanyak RM27.9 bilion.

Untuk sumber manusia pula, seramai 78,266 daripada keseluruhan 267,578 staf KKM ditugaskan untuk kesihatan awam.

"Beberapa fakta yang harus kita terima dalam merencana tindak balas ialah wabak ini belum nampak akan tamat dalam masa terdekat dengan kes sporadik terus mengampuh serta kemungkinan wabak akan meledak.

"Respon terkait kesihatan awam mesti mantap, dan ini adalah kunci kepada pemulihan ekonomi yang kukuh. Keduanya tidak boleh diasingkan," kata mereka.

Mereka turut menyarankan KKM untuk memanfaatkan keupayaan tambahan dalam melakukan ujian saringan terutama terhadap kelompok berisiko memandangkan kerajaan mempunyai keupayaan tambahan untuk melakukannya.

Selain Covid-19, kata mereka, perhatian turut harus diberikan kepada penyakit berjangkit lain seperti Tuberculosis atau TB, demam denggi, dan virus-virus yang meberi kesan terhadap paru-paru.

Sejumlah 8.1 peratus populasi dewasa Malaysia - atau kira-kira 1.7 juta - memiliki ketiga-tiga masalah kencing manis, darah tinggi dan kolestrol tinggi.

Anwar dan Lee turut membangkitkan perhatian terhadap penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, diabetes dan kolestrol, memandangkan statistik daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 menunjukkan wujudnya epidemik nutrisi.

“Ketika kerajaan sedang bertungkus-lumus merencana strategi atau jalan keluar dari wabak Covid-19, akan ada percubaan untuk mengurangkan peruntukan dalam Belanjawan 2021 dan juga RMK-12 (Rancangan Malaysia ke-12) yang tertunda.

“Kami menggesa kerajaan agar dana yang diperuntukkan dalam mengukuhkan tahap kesihatan awam dilihat sebagai pelaburan, dan bukan semata-mata kos.

“Kami berpendapat hanya dengan meningkatkan tahap pelindungan dan kesihatan kepada rakyat, kita akan mampu menangani cabaran dan tantangan kesihatan dan ekonomi yang sedang mengesankan negara,” kata mereka.

Negara berdepan kebimbangan berlakunya gelombang kedua Covid-19 memandangkan wujud kluster baru yang kini melibatkan 43 individu dijangkiti.

Kluster yang berasal dari sebuah restoran di Kedah ini menyebabkan lima sekolah ditutup di Kedah dan turut merebak ke Perlis.

Setakat ini, jumlah kes aktif di Malaysia adalah 210 kes walaupun ia pernah menurun di bawah paras 100 pada awal Julai.