Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menantu saya bukan Rosmah 2.0, kata Kit Siang
Diterbitkan:  Aug 8, 2020 6:43 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang merayu kerajaan dan pihak berkuasa agar menggugurkan tuduhan pengubahan wang haram terhadap menantunya, Betty Chew.

Rayuan tersebut ditujukan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Peguam Negara Idrus Harun dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita harus kekal menghormati kehidupan awam dan tidak memusnahkan keluarga serta menyasarkan anggota keluarga. Tindakan sebegini harus dihentikan," katanya dalam satu kenyataan.

Chew akan didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth pada Selasa depan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla).

Ini kerana penglibatannya dalam sebuah syarikat, Excel Property Management and Consultancy Sdn Bhd.

Pada tahun 2017, Chew dituduh merupakan pengarah syarikat berkenaan, bersama dengan ahli perniagaan Phang Li Koon.

Phang sebelum ini didakwa dan dibebaskan berkaitan pembelian sebuah banglo oleh Guan Eng.

Kit Siang berkata, dia telah mengenali Chew selama tiga dekad.

Sekiranya rumah menantunya digeledah, katanya, pihak berkuasa tidak akan menjumpai 12,000 barangan kemas, 423 jam tangan mewah, 567 beg tangan daripada 72 jenama, 272 beg tangan Hermes atau wang tunai berjumlah RM116.7 juta dalam 26 mata wang.

"Justeru mengapa ada percubaan untuk mengambarkan Betty Chew sebagai Rosmah Mansor kedua Malaysia?" katanya merujuk serbuah pihak berkuasa ke atas kediaman bekas perdana menteri Najib Razak pada 2018.

"Dengan ini saya membuat rayuan terbuka kepada Perdana Menteri, Peguam Negara dan SPRM untuk kekal menghormati kehidupan awam dan menggugurkan pendakwaan pengubahan wang haram terhadap menantu saya, Betty Chew," kata Lim.

Selain Chew, Lim juga menghadapi dua pertuduhan oleh SPRM di mahkamah pada Isnin dan Selasa depan.

Bekas menteri kewangan itu semalam mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan atas tuduhan meminta rasuah berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion diMahkamah Sesyen Kuala Lumpur. 

Dia bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Kit Siang berkata, tuduhan terhadap anaknya itu tidak mengejutkan dan merupakan usaha untuk mematahkan semangat politiknya.

Lihat Komen
ADS