Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak hadir sidang media parti baru Dr M, apa langkah Syed Saddiq?

Meskipun seorang demi seorang akar umbi Bersatu keluar parti bagi menyokong penubuhan parti baru berasaskan Melayu oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, perhatian tertumpu pada anggota parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bekas ketua pemuda Bersatu (Armada) itu tidak hadir dalam sidang media penubuhan parti baru itu pada Jumaat lalu yang dikatakan akan berpegang pada perjuangan asal Bersatu iaitu untuk memerangi rasuah.

Syed Saddiq yang dikenali sebagai penyokong kuat Mahathir dikatakan berada di Johor ketika itu.

Bagaimanapun, sikap membisu Syed Saddiq, menguatkan lagi spekulasi bahawa wujud rancangan di pihaknya untuk menubuhkan satu parti politik baru berasaskan belia, bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti.

Jika benar, ini bermakna dia akan bertukar haluan daripada parti baru Mahathir yang dijangka diketuai oleh bekas pemimpin kanan Bersatu yang menyokong Mahathir dan anaknya, Mukhriz, sebagai pengerusi dan presiden sementara.

Ketika dihubungi, bekas exco Armada Ulya Aqamah Husamudin yang hari ini mengumumkan keluar parti, memberi bayangan bahawa memang ada rancangan berhubung “gerakan” baru berasaskan belia.

“Buat masa sekarang, kami sedang bincang dan rancang,” kata Ulya kepada Malaysiakini.

“Apa yang pasti, kami akan mulakan gerakan belia.

“Sama ada itu menjelma sebagai satu parti, itu belum dapat dipastikan kerana ada beberapa ahli belia dari parti lain mungkin akan turut serta,” katanya ketika ditanya rancangan masa depan membabitkan Syed Saddiq.

Selain Syed Saddiq, beberapa bekas pemimpin Bersatu yang sebelum ini mencabar pemecatan mereka daripada parti, tampil menyokong parti baru Mahathir, termasuklah bekas Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya, Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh.

Libatkan aktivis Liga Rakyat Demokratik

Antara gerakan belia yang wujud buat masa ini, termasuklah Liga Rakyat Demokratik yang antara lain, menyokong usaha Parlimen Digital yang menghimpunkan 222 wakil belia bagi persidangan Dewan Rakyat maya selama dua hari baru-baru ini.

Setiausaha Agungnya, Amir Abdul Hadi memberitahu Malaysiakini bahawa meskipun idea penubuhan parti berasaskan belia sudah berulang-kali timbul dan dibincangkan, perkembangannya tidak lebih daripada peringkat awal sahaja, sejak sebelum PRU-14 lagi.

“Perbincangan itu terus berlangsung tapi tak ada (keputusan) konkrit,” katanya ketika ditanya berkenaan perkembangan membabitkan pergolakan politik semasa.

Amir berkata, gerakan mereka telah bermula sejak 2015 lagi, dan menuju PRU-14, mereka melancarkan kempen bagi menyokong calon belia daripada DAP, Bersatu dan Amanah.

Beberapa calon yang mereka sokong akhirnya berjaya dipilih menjadi wakil rakyat, termasuklah Adun Paloh dari DAP Sheikh Omar Ali dan Adun Ketari Young Syefura Othman.

Tambah Amir (gambar), dengan khabar angin bertiup kencang bahawa PRU-15 mungkin diadakan lebih awal berbanding tarikh tamat penggal pada 2023, Liga Rakyat Demokratik akan terus kekal di atas platform NGO bagi menjalankan aktivitinya, termasuk pengagihan bantuan kepada kumpulan rentan semasa perintah kawalan pergerakan.

“Kalau pun kata ada parti (berasaskan belia), Liga Rakyat Demokratik tak akan terlibat (secara keseluruhan).

“Mungkin akan ada individu (bertanding PRU-15),” katanya yang menambah bahawa ahlinya turut melibatkan ahli politik belia daripada parti-parti politik sedia ada.

“Liga Rakyat Demokratik ada misi dan visi sendiri, dan akan kekal macam itu,” katanya lagi.

Mahathir berkata parti barunya itu merupakan parti "bebas" dan tidak terikat dengan mana-mana pihak sama ada PN mahupun PH - ekoran masalah dengan PKR - namun boleh menjadi kumpulan yang dapat menentukan siapa yang akan memenangi PRU nanti.

Pengumuman parti baru itu mencetuskan tindak balas keluar parti di kalangan ahli-ahli Bersatu, manakala Bersatu bahagian Klang juga kini didakwa telah terbubar.

Malaysiakini telah berkali-kali cuba menghubungi Syed Saddiq untuk mendapatkan komen, namun masih belum mendapat respons.

Lihat Komen
ADS