Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Redzuan: Meski AJK keluar parti, bahagian tak bubar

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof menegaskan tiada bahagian parti itu yang dibubarkan pada masa ini.

Beliau berkata bahagian yang Ahli Jawatankuasanya (AJK) mengumumkan keluar parti tidak terbubar sebaliknya ia masih berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

"Tidak timbul isu pembubaran bahagian kerana mengikut perlembagaan parti, kalau AJK Bahagian berhenti atau diberhentikan, bahagian itu tidak terbubar.

"MPT boleh melantik (AJK baru) atau memastikan bahagian itu tetap wujud ...mana-mana pihak yang kononnya mengatakan bahagian itu bubar adalah orang yang tidak memahami perlembagaan parti," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Beberapa pemimpin termasuk ketua bahagian dan AJK parti khususnya di Selangor mengumumkan keluar parti dipercayai mahu menyertai parti baharu yang ditubuhkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Redzuan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) menyifatkan mereka yang keluar daripada parti itu merupakan golongan terpencil.

Tambahnya, sebahagian besar ahli parti masih bersama dengan Presiden Muhyiddin Yassin kerana parti itu tetap berpegang kepada perjuangannya sewaktu ditubuhkan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Bersatu mungkin akan melakukan pindaan terhadap perlembagaan parti itu bagi memansuhkan jawatan pengerusi.

"Kalau kita perlu pinda perlembagaan, kita akan pinda dalam mesyuarat agung khas atau pada bila-bila masa kerana kita dah nampak masalah, perlu ada seorang kapten sahaja dalam sebuah kapal," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS