Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Tak luar biasa letak duit Zahid dalam akaun simpanan tetap’

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa bukanlah sesuatu amalan luar biasa untuk firma guaman memindahkan wang anak guam mereka ke akaun simpanan tetap syarikat mereka.

Akauntan firma guaman Tetuan Lewis & Co, V Sothilechmy, berkata demikian ketika disoal peguam bela Ahmad Zahid Hamidi, Hisyam Teh Poh Teik dalam perbicaraan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Hisyam: Saya cadangkan, tak ada apa-apa yang luar biasa untuk firma guaman letak duit dalam (akaun) simpanan tetap. Betul?

Sothilechmy: Ya.

Hisyam: Kamu juga telah buat begini kepada pelanggan kamu yang lain?

Sothilechmy: Ya.

Hisyam: Atas arahan peguam-peguam ?

Sothilechmy: Ya.

Sothilechmy hadir semula ke mahkamah bagi menyambung keterangannya yang diberikan pada 30 Julai.

Dalam keterangannya sebelum ini, Sothilechmy mengesahkan Yayasan Akalbudi menerima lebih RM66 juta melalui cek daripada individu dan pelbagai syarikat, antara 2016 hingga 2018.

Katanya, pemilik Tetuan Lewis & Co, B Muralidharan mengarahkannya supaya memasukkan cek berkenaan ke dalam akaun bank firma guaman itu sebelum memindahkan wang tersebut ke dalam dua akaun simpanan tetap.

Sothilechmy turut mengesahkan Ahmad Zahid sebagai pelanggan Lewis & Co, namun penyumbang kepada cek lebih RM66 juta itu bukan pelanggan firma berkenaan.

Ahmad Zahid merupakan pengasas, pemegang amanah dan penandatangan tunggal Yayasan Akalbudi.

Sepanjang perbicaraan, pihak pembelaan konsisten mencadangkan Tetuan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh menerima cek berjumlah puluhan juta ringgit menerusi Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada amaun itu kemudiannya digunakan untuk penempatan deposit tetap bawah nama firma tersebut.

Selain itu, dua unit banglo berjumlah RM5.9 juta didakwa dibeli tertuduh menggunakan duit tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah masuk hari ke-31 hari ini, dan akan bersambung esok.

Lihat Komen
ADS