Kerajaan klasifikasikan semula dokumen jambatan bengkok
Kerajaan mengklasifikasikan semula beberapa dokumen rahsia berkaitan rundingan antara kerajaan Malaysia dan Singapura berhubung projek ' jambatan bengkok'di Selat Tebrau bagi membolehkan rakyat memahami mengapa kerajaan membatalkan projek tersebut.
Kerajaan mengklasifikasikan semula beberapa dokumen rahsia berkaitan rundingan antara kerajaan Malaysia dan Singapura berhubung projek ' jambatan bengkok'di Selat Tebrau bagi membolehkan rakyat memahami mengapa kerajaan membatalkan projek tersebut.
Kenyataan media Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerangkan, dokumen-dokumen tersebut ialah surat dan nota diplomatik yang dibuat antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong.
Turut dijadikan dokumen awam ialah petikan rekod mesyuarat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Goh Chok Tong di Kuala Lumpur pada Mac 2005.
Menurut JPM, ini adalah kali kedua dokumen yang diklasifikasikan sebagai 'rahsia kerajaan' yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 ditukar menjadi dokumen awam dan diluluskan untuk bacaan umum.
" Tindakan menukar status 'rahsia' kepada dokumen awam ini menunjukkan kesungguhan kerajaan memberikan maklumat sebenar kepada rakyat. Dengan tindakan ini rakyat diharapkan akan memahamaai dan menghargai mengapa projek jambatan itu dibatalkan,"jelas kenyataan itu lagi.
Ia juga bagi menjawab semua dakwaan-dakwaan yang ditimbulkan oleh Dr. Mahathir berkaitan pembatalkan projek jambatan bengkok itu.
Dokumen-dokumen yang diklasifikasikan semula itu mempunyai tiga fakta utama termasuk perbincangan bersama dengan Singapura mengenai isu ruang udara, isu penjualan pasir dan pendapat undang-undang dari Jabatan Peguam Negara.
Isu-isu itu adalah antara yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir ketika mempersoalkan keputusan kerajaan pada April lepas untuk memberhentikan pembinaan jambatan itu.
Dr. Mahathir juga mendakwa Malaysia adalah negara lemah dan tidak mempunyai keberanian untuk meneruskan projek jambatan bengkok.
Empat dakwaan Dr. Mahathir berhubung isu jambatan ini ialah:
* Singapura telah menerima cadangan Malaysia untuk membina 'jambatan bengkok' itu.
* Pembinaan jambatan itu bukannya sebahagian daripada pakej isu-isu tertunggak yang dimasukkan dalam pakej rundingan dua hala.
* Malaysia adalah "sebuah negara lemah " apabila membatalkan projek jambatan bengkok.
* Malaysia yang menawarkan penjualan pasir dan membenarkan tentera udara Singapura menggunakan ruang udara negara.
Menurut JPM, rundingan dengan Singapura berhubung isu ruang udara bukan perkara baru dan bukan dimulakan oleh kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Abdullah.
Dr. Mahathir sendiri yang memasukkan isu ruang udara itu untuk dijadikan bahan tawar menawar dan sebagai sebahagian daripada pakej isu yang hendaklah diselesaikan dalam rundingan dari tahun 1998 hingga 2002. Ini dibuktikan dalam surat Dr. Mahathir kepada Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew pada 2 Mac 2002.
Isu yang sama kemudiannya dibangkitkan oleh Goh Chok Tong dalam pertemuan dengan Abdullah pada Mac 2005.
Penjualan pasir
"Fakta ini dengan jelasnya menafikan dakwaan Dr. Mahathir yang mengatakan kerajaan sekarang menawarkan penggunaan ruang udara kepada tentera Singapura," kata kenyataan itu.
Mengenai isu penjualan pasir, JPM berkata, Dr. Mahathir sendiri yang memasukkan isu bekalan pasir ini suratnya kepada Lee Kuan Yew pada 4 Mac 2002.
Kemudian Goh Chok Tong membangkitkan pula isu pasir ini dalam pertemuannya dengan Abdullah pada 1 Mac 2005 di Putrajaya.
Ini menangkis dakwaan yang mengatakan kerajaan sekarang yang membawa isu pasir ke meja rundingan.
Kenyataan JPM itu juga menjelaskan Jabatan Peguam Negara telah menasihatkan kerjaan bahawa pembinaan jambatan bengkok ini tidak boleh diteruskan sendirian tanpa mematuhi beberapa obligasi undang-undang.
Malaysia mempunyai tanggungjawab di bawah Perjanjian Air Malaysia-Singapura 1961 dan 1962, Perjanjian Wayleave dan Perjanjian Pemisahan 1965.
Halangan utama kepada projek ini ialah pembinaan jambatan bengkok itu akan mengakibatkan Tambak Johor di bahagian Malaysia dirobohkan. Perobohan tersebut akan menjejaskan paip air yang membekalkan air ke Singapura.
Menurut JPM, saluran paip air tersebut walaupun berada di kawasan Malaysia namun mengikut Perjanjian Air Malaysia-Singapura 1961 dan 1962 paip-paip air itu adalah milik Lembaga Kemujdahan Awam Singapura (PUB).
" Peguam Negara menyatakan dibawah perjanjian air Malaysia-Singapura 1961 dan 1962, Malaysia perlu mendapatkan kelulusan dari PUB jika mahu membuat sebarang perubahan pada saluran paip air itu, andainya projek jambatan bengkok itu memerlukan saluran paip air itu diubah," jelas JPM lagi.
Perjanjian air Malaysia -Singapura 1961 dan 1962 itu dijamin oleh Perjanjian Pemisahan 1965.
Fakta ini membatalkan dakwaan bahawa saluran paip air di Tambah Johor di kawasan Malaysia boleh diubah kedudukan dengan memberi notis 6 bulan kepada Singapura.
Setelah menimbangkan fakta-fakta berkenaan, kerajaan sekarang terpaksa membuat keputusan tegas menolak permintaan menjual pasir kepada Singapura dan membenarkan jet tentera udara republik itu menggunakan ruang udara Malaysia kerana tidak mahu menggadai kedaulatan negara.
"Kerajaan terpaksa membuat satu keputusan politik bagi membatalkan projek jambatan bengkok itu selari dengan sentimen rakyat dana kepentingan negara,"jelas JPM lagi.
"Kesimpulannya, keseluruhan isu ini berkisar pada satu fakta yang mudah - Malaysia mahukan jambatan tersebut dan Singapura tidak," katanya.

