Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kestabilan kerajaan negeri Johor Perikatan Nasional menjadi persoalan susulan bekas menteri besar Osman Sapian dilihat bersama beberapa pemimpin Pejuang semasa kempen pilihan raya kecil Slim.

PN Johor mempunyai 29 kerusi di DUN manakala Pakatan Harapan pula mempunyai 27 kerusi. Hanya satu pembelotan dari PN akan menyaksikan dewan negeri menjadi tergantung.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini memberi amaran bahawa baginda akan membubarkan dewan itu - yang akan bersidang semula pada 10 September - jika terus berlaku perebutan kuasa.

Osman, malam tadi bersama-sama dengan orang kuat Dr Mahathir Mohamad, Abu Bakar Yahya di bilik operasi Pejuang di Felda Trolak Selatan.

Bekas menteri besar itu juga bergambar sambil melaungkan "calon nombor satu" yang adalah nombor kertas undi calon Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Amir - yang bertanding atas tiket bebas tidak berada pada acara semalam itu.

“Dia (Osman) datang untuk beri sokongan kepada calon Bebas Amir,” kata Abu Bakar kepada Malaysiakini.

Namun, ketika dihubungi, Osman sekadar berkata kehadiran itu sekadar “jumpa kawan-kawan.”

Disoal adakah dia berkempen untuk Amir, Osman menjawab: "jengok-jengok.”

Dua minggu lalu, Osman menolak spekulasi bahawa akan ada Adun Johor Bersatu yang akan berpaling tadah dan menyertai Pejuang. Katanya, berita itu sekadar "khabar angin."

Walau bagaimanapun, seorang Adun kanan Bersatu Johor, sebelum ini, mendakwa terdapat minat yang kuat di kalangan akar umbi untuk menyertai parti baru Dr Mahathir.

Penampilan Osman bersama Pejuang dibuat setelah dia gagal mendapat sebarang jawatan dalam pemilihan saf Majlis Pimmpin Tertinggi Bersatu pada Sabtu lalu.

Adun Kempas itu adalah salah seorang pemimpin Bersatu Johor yang lantang mengkritik Menteri Besar Hasni Mohammad kerana didakwa mengetepikan parti itu setelah Umno mengambil alih teraju pemerintahan negeri.

Rancangan rampasan kuasa di Johor sebelum ini tidak menjadi kenyataan susulan amaran oleh Sultan Ibrahim yang memberi peringatan bahawa baginda akan membubarkan DUN jika mereka terus bertelagah.

Disoal adakah ini satu petanda bahawa perubahan akan berlaku di negeri ini, Ketua Pakatan Harapan Johor Aminolhuda Hassan menjawab ringkas: "Mudah-mudahan".

Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat memberitahu Malaysiakini bahawa setakat ini, kerajaan negeri belum mengemukakan sebarang usul untuk sidang dua hari itu pada bulan September.

Namun, ada yang menjangkakan kerajaan negeri akan menggerakkan usul untuk menggantikan Suhaizan - yang berasal dari Amanah - dengan calon PN.

Sekiranya pengundian dijalankan, ini akan dapat menentukan jika kerajaan negeri pimpinan PN masih utuh.

Lihat Komen
ADS