Bekas pembantu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Matthias Chang yang tidak puas hati dengan tindakan pihak berkuasa mengklasifikasikan semula beberapa dokumen berkaitan projek 'jambatan bengkok' menggesa kerajaan mendedahkan semua dokumen berkaitan, bukannya bahagian-bahagian tertentu sahaja.

Dalam kenyataan e-melnya hari ini, Chang yang menyifatkan tindakan itu sebagai 'penipuan umum' berkata, pendedahan kerajaan pada minggu lalu itu bukannya dokumen baru malah telah menjadi bahan umum kerana telahpun didedahkan oleh kerajaaan Singapura dalam risalah 'Water talks? If Only It Could'.

"Dalam keadaan ini, dari segi undang-undang dan fakta, dokumen-dokumen tersebut sudah berada dalam pengetahuan umum dan tidak boleh dianggap rahsia lagi," katanya.

Dalam kenyataannya itu, Chang turut membidas akhbar New Straits Times (NST) dan Pengarang Kumpulannya, Brendan Pereira.

Menurut beliau, NST keluaran 15 Julai dengan tajuk muka depannya 'Declassified - What the official records tell' memberi gambaran bahawa dokumen-dokumen berkenaan adalah yang baru.

"Putar belit yang dilakukan amat ketara. Kerajaan kononnya mahu bersikap telus dan jujur serta mengharapkan dokumen-dokumen ini akan menjawab semua soalan yang ditimbulkan oleh Dr. Mahathir. Tetapi sebaliknya berlaku, ia semakin menimbulkan banyak soalan baru," tambahnya.

"Jika kerajaan dan NST baca dan kaji buku risalah 'Water talks? If Only Could' , mereka akan sedar surat-surat itu - surat Lee Kuan Yew (24 Ogos 2000), surat Dr. Mahathir kepada Lee (4 Mac 2002), surat Goh Chok Tong (11 April 2002), surata Dr. Mahathir (7 Oktober 2002) dan surat Goh (14 Oktober 2002) - semua sudah berada di tangan umum, oleh itu tidak perlu diklasifikasikan semula."

"Ia adalah dokumen lama dan rakyat tahu tentangnya. Orang ramai tahu tentang dokumen ini sejak April lalu apabila saya membangkitkannya, tetapi kerajaan dan NST mengambil masa tiga bulan untuk mendapatkannya dan masih tersilap mengenainya," dakwa Chang.

Menurut beliau lagi, tindakan ini menunjukkan kerajaan sedang terdesak.

"Kerajaan menguasai media, maka para pembantu dan penasihat Perdana Menteri berharap rakyat akan mempercayai penjelasan mereka," ujarnya.

Chang juga meminta Menteri Luar, Datuk Seri Albar menunaikan janjinya untuk mendedahkan semua dokumen berkaitan rundingan dua hala Malaysia dan Singapura.

"Orang ramai sedang menunggu-nunggu semua dokumen berkaitan diklasifikasikan semula terutamanya semua minit mesyuarat antara Pak Lah dan Goh Chok Tong pada 1 Mac 2005 serta minit rundingan lima pusingan antara pegawai-pegawai kanan Malaysia dan Singapura. Dalam minit mesyuarat ini jelas bahawa Malaysia membuat tawaran menjual pasir kepada Singapura."

"Kita tidak mahu petikan dari minit mesyuarat, kita mahukan minit penuh mesyuarat tersebut," kata Chang yang merupakan bekas Setiausaha Politik bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Abdullah mesti mengklasifikasikan semua minit mesyuarat berkaitan hubungan dua hala dengan Singapura sejak beliau menjadi Perdana Menteri, " tambahnya sambil menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersikap jujur dengan rakyat.