Majlis Peguam sekata dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa proses rayuan terhadap sesuatu hukuman perlu dimasukankan dalam draf penubuhan Suruhanjaya Bebas Salah Laku dan Aduan Polis (IPCMC).

Presidennya, Yeo Yang Poh berkata, pihak polis telah mencadangkan mereka yang dituduh melakukan salahlaku diberikan tempat dan peluang membuat rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi.

"Peruntukan rayuan itu tidak ada dalam draf IPCMC yang dibuat oleh Suruhanjaya Diraja Polis. Polis telah membangkitkan perkara ini dan kami bersetuju dengan mereka," kata dalam satu sidang akhbar hari ini.

"Kami mahu draf IPCMC itu dipinda dengan memasukkan peruntukan rayuan itu," tambahnya.

Teo bagaimanapun menekankan, IPCMC perlu diberi kuasa menyiasat aduan dan mengumpul bukti-bukti serta diberi kuasa penguatkusaan.

"Badan ini mesti diberikan kuasa untuk mengeluarkan perintah, bukan setakat membuat cadangan sahaja. Adalah amat penting perintah-perintah yang dibuat oleh IPCMC mesti dipatuhi " katanya.

Menurt peguam itu, cadangan penubuhan IPCMC telah mendapat sokongan hampir 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan lain.

Antaranya termasuklah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor (SCAH).

Kempen tandatangani anjuran Majlis Peguam juga telah berjaya mengumpul kira-kira 10,000 tandatangan daripada individu serta pertubuhan setakat ini.

"Ini menunjukkan sokongan kepada IPCMC datang dari pelbagai lapisan masyarakat, parti politik, kaum dan agama," ujarnya.

Menyentuh tentang siapa patut dilantik menganggotai IPCMC, Yeo berkata orang-orang yang dipilih menerajui agensi ini hendaklah mereka yang mempunyai kredibiliti dan diyakini akan menggunakan kuasanya dengan berkesan.

"Anggota IPCMC perlu datang dari pelbagai latar belakang dan pengalaman umpamanya bekas hakim, peguam dan wakil-wakil NGO," jelasnya .

Majlis Peguam kan menganjurkan forum awam bertajuk 'IPCMC: Ya atau Tidak?' pada 8.30 malam Khamis ini di SCAH.

Para penceramahnya ialah Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Mohd Ezam Mohd Noor, bekas pesuruhjaya Suhakam Datuk Mohd Hamdan Adnan dan bekas Naib Presiden Persatuan Bekas Polis, Abdul Malek. Berita asal