Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kluster Tawar, Sivagangga mungkin berasal dari sumber sama
Diterbitkan:  Aug 27, 2020 6:26 PM
Dikemaskini: 11:50 AM

Sampel virus Covid-19 yang diambil daripada kluster Tawar dan Sivagangga mendapati ia mungkin berasal daripada sumber yang sama.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian yang dilakukan mendapati sampel virus daripada kedua-dua kluster itu tidak hanya membawa mutasi D614G, malah adalah daripada 'clade' yang sama.

"Ini mencadangkan bahawa kluster Tawar dan kluster PUI Sivagangga adalah kemungkinan besar daripada sumber yang sama. Namun begitu, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini pakar percaya mutasi D614G berupaya meningkatkan jangkitan virus yang menyebabkan Covid-19.

'Clade' merupakan satu istilah biologi yang merupakan satu kelompok taksonomi yang memiliki leluhur bersama.

Noor Hisham berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah melakukan kajian virologi kepada kluster Tawar berikutan peningkatan kes yang mendadak di beberapa negeri.

Katanya, IMR telah mengambil 14 sampel virus daripada pesakit kluster Tawar untuk tujuan 'full genome sequencing' dan berjaya memperoleh urutan genom daripada empat sampel.

"Didapati virus tersebut mempunyai mutasi D614G.

"Virus kluster Tawar ini (4 sampel) telah dibandingkan dengan virus daripada kluster PUI Sivagangga (3 sampel). 

"Hasil menunjukkan bahawa ketujuh-tujuh virus ini adalah daripada clade yang sama," kata Noor Hisham. 

Sementara itu, Noor Hisham berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara Pentadbiran dilaksanakan di Aman Jaya, Kedah berkuatkuasa jam 12.01 malam, 28 Ogos sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan.

Katanya, ia melibatkan tiga zon di Aman Jaya iaitu Kenanga, Mawar dan Melur.

Kluster Tawar setakat in mencatatkan sebanyak 73 kes dan 21 daripadanya terdiri daripada pesakit berumur 18 tahun ke bawah.

Tiada kes baru dilaporkan daripada kluster berkenaan dalam tempoh 24 jam sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Lihat Komen
ADS