Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan tender bagi 880 projek pembangunan baru di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bernilai RM15 bilion hari ini.

Dalam satu kenyataannya yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, beliau berkata semua projek itu akan dilaksanakan dalam tempoh masa terdekat.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, senarai projek ini merupakan senarai awal yang dikeluarkan dan kerajaan akan mengumumkan senarai selanjutnya dari masa ke semasa, selepas mendapat maklumat yang diperlukan daripada kementerian yang terbabit.

Menurut laporan Bernama, antara projek dalam senarai awal ini termasuk pembinaan lebih daripada 450 sekolah rendah dan menengah, jalan, projek perbekalan air dan Terminal Pengangkutan Bersepadu di Gombak, Selangor.

Projek infrastruktur jalanraya membabitkan pembinaan jalanraya dari Padang Besar, Perlis ke Bukit Kayu Hitam, Kedah manakala projek jambatan pula adalah antara Semporna dan Pulau Bum Bum di Sabah.

Katanya kerajaan kini menggiatkan pelaksanaan program dan projek di bawah RMK-9 hanya selepas satu setengah bulan rancangan itu diluluskan Parlimen.

Katanya semua kementerian dan agensi berkenaan bersama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarah untuk mengambil tindakan segera terutamanya dalam mempercepatkan reka bentuk dan pengeluaran dokumen tender supaya projek berkenaan dapat dilaksanakan seawal mungkin.

Maklumat tender

"Pada masa yang sama, saya juga mahu seluruh jentera kerajaan memastikan supaya projek pembangunan lain yang diluluskan di bawah RMK-9 dapat dipercepatkan pelaksanaannya supaya rakyat mendapat manfaat daripadanya," kata Abdullah.

Maklumat tender berkenaan akan diiklankan di surat khabar tempatan serta laman web myGovernment (www.gov.my), JKR (www.kkr.gov.my) dan CIDB (www.cidb.gov.my).

Senarai projek boleh didapati di laman web rasmi Pejabat Perdana Menteri (www.pmo.gov.my), Kementerian Kewangan (www.treasury.gov.my) dan Unit Perancang Ekonomi ( www.epu.jpm.my ).

Menurut Abdullah, satu metodologi Pengurusan Projek dan Program (PPP) akan digunakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Direktorat Pelaksanaan Negara untuk memantau projek tersebut.

"Ciri utama metodologi PPP ini akan menerapkan amalan dan proses terbaik dalam perancangan dan pelaksanaan projek. Ini termasuk memastikan projek akan disiapkan pada kos yang berpatutan dan dalam jangkamasa yang telah ditetapkan," katanya.

PPP juga akan membangunkan kaedah yang terbukti untuk menilai kesan dan hasil yang tepat bagi memastikan program dan projek yang dilaksanakan mencapai matlamatnya.

"Saya yang mempengerusikan Badan Bertindak Pelaksanaan Negara akan memantau pelaksanaan projek-projek ini," kata Abdullah.