mk-logo
Berita
Hajiji: Kerusi ditandingi Bersatu dalam PRN Sabah diketahui minggu ini
Diterbitkan:  Sep 1, 2020 5:05 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

Jumlah kerusi yang akan ditandingi Bersatu dalam pilihan raya Sabah akan diketahui sebelum akhir minggu ini, maklum Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Hajiji Noor.

"Kita masih ada masa lagi, tarikh 12 Sept (penamaan calon) lama lagi,” katanya yang dilaporkan Bernama hadir majlis ramah mesra bersama pemimpin dan jentera Bersatu Kalabakan di Tawau.

Pada 1 Ogos, Hajiji dilaporkan berkata Bersatu Sabah mahu bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri di Sabah.

Pada sidang media itu, Hajiji berkata Bersatu berhasrat meletakkan calon di dua kerusi DUN dalam parlimen Kalabakan.

Beliau berharap tidak berlaku pertembungan kerusi antara rakan sekutu bagi mewujudkan peluang lebih baik bagi gabungan Perikatan Nasional memenangi PRN Sabah.

“Saranan saya, kita perlu sokong antara satu sama lain, Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan rakan sekutu kita mesti bersatu hati," katanya.

Umno hasrat tandingi 4 kerusi DUN di Kalabakan

Parlimen Kalabakan memiliki tiga kerusi DUN iaitu Merotai, Tanjong Batu dan Sebatik. Pada PRU14, Ma'mun Sulaiman yang mewakili Warisan menang kerusi Kalabakan yang disandang pemimpin Umno Sabah Abdul Ghapur Salleh selama empat penggal sejak 2004 lagi.

Umno menang kerusi DUN Tanjong Batu dan DUN Sebatik pada pilihan raya umum 2018, namun setelah itu kedua-dua Adun tersebut, Hamisa Samat dan Abd Muis Picho telah melompat ke parti Warisan.

Sementara itu, Ketua Umno Kalabakan, Andi Muhammad Suryady Bandy dilaporkan berkata parti itu akan bertanding di dua kerusi DUN itu, sesuatu yang bercanggah dengan hasrat Bersatu yang mahukan kerusi yang sama

"Ini bermaksud kedua-kedua kawasan ini perlu dipertahankan oleh Umno," katanya.

Disamping itu, Andi turut berkata Umno juga akan bertanding di satu lagi kawasan baru hasil persempadanan semula di parlimen Kalabakan iaitu DUN Kukusan.

"Ini bermaksud ada empat kerusi DUN yang akan dipertandingkan di parlimen Kalabakan nanti,” jelasnya kepada Umno Online pada 4 Ogos lalu.

Umno juga, kata Andi akan mengambil semula kerusi DUN Merotai yang ditandingi komponen BN, LDP pada PRU14 tetapi tewas kepada Warisan.

“Kerusi Merotai itu berpotensi untuk dimenangi semula seandainya dipulangkan kembali kepada Umno Kalabakan,” katanya lagi.

 

Lihat Komen
ADS