Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lokap polis di Sabah kluster baru Covid-19, kata KKM
Diterbitkan:  Sep 1, 2020 5:49 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

Malaysia merekodkan 14 kes baru Covid-19 dalam 24 jam setakat tengah hari tadi termasuk kluster baru yang dikesan di sebuah lokap polis di Sabah.

Pada sidang media di Putrajaya hari ini, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 14 kes baru, sembilan jangkitan berlaku secara tempatan termasuk tujuh di kluster yang baru dikesan.

"KKM ingin memaklumkan bahawa satu kluster baru telah dikenalpasti hasil saringan terhadap tahanan baru di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah.

"Setakat ini, seramai 50 orang tahanan telah disaring pada 28 Ogos 2020. Daripada jumlah ini, tujuh kes dikesan positif Covid-19; dan 43 individu adalah negatif," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham kes positif Covid-19 kluster lokap ini melibatkan enam Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) dan seorang warganegara Malaysia.

"Kesemua kes positif ini tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu," jelas beliau lagi.

Sementara itu, pesakit kedua Kluster Tawar di Pulau Pinang telah meninggal, menjadikan ia kematian ketiga yang dicatatkan dalam tempoh empat hari.

Dr Noor Hisham berkata kematian itu melibatkan wanita warganegara berusia 80 tahun yang merupakan antara kes positif dilaporkan pada 15 Ogos dalam Kluster Tawar serta mempunyai latar belakang penyakit barah paru-paru dan darah tinggi.

"Beliau mula mengalami gejala demam dan sakit dada sejak 6 Ogos dan telah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan. Pada 14 Ogos, beliau dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang setelah didapati positif Covid-19.

"Keadaan kesihatan beliau merosot dengan komplikasi daripada penyakit barah justeru memerlukan bantuan pernafasan sejak 24 Ogos. Beliau disahkan meninggal dunia pada 1 Sept pukul 10.38 pagi,” katanya.

Jumlah kumulatif korban Covid-19 di negara meningkat kepada 128 kes, mewakili 1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes apabila satu lagi kematian direkodkan hari ini.

[Berita penuh menyusul]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS