Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kecewa tak dibentang 'sampai bila-bila', Dr M siar usul tak percaya pada umum
Diterbitkan:  Sep 9, 2020 1:15 PM
Dikemaskini: 5:15 AM

Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bertindak menyiarkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin, yang difailnya beberapa bulan lalu, kepada orang ramai selepas merasakan ia tidak akan dibentang di Dewan Rakyat.

Usul tersebut serta kenyataan iringannya disiarkan di blog, Facebook dan Twitter miliknya.

Dr Mahathir berkata sudah dua kali usulnya diletakkan di akhir sidang Dewan Rakyat membuatkannya merasakan ia tidak akan dibentang "sampai bila-bila".

"Saya telah bercadang untuk membawa usul tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat. Tetapi kerajaan menentukan usul ini tidak akan dikemukakan dan dibahas.

"Usul kerajaan didahulukan sehingga tidak ada masa untuk usul saya dibahas. Dengan cara ini sampai bila-bila pun usul saya tidak akan dibincang dalam dewan.

"Oleh kerana saya tidak mungkin kemukakan usul saya dalam parlimen, maka saya terpaksa siar usul ini dalam blog untuk tatapan orang ramai," katanya hari ini.

Pada 4 Mei lalu, Mahathir selaku Ahli Parlimen Langkawi telah menghantar surat kepada speaker Dewan Rakyat ketika itu, Mohamad Arif Mohd Yusof dan mendakwa Muhyiddin tidak ada sokongan majoriti anggota parlimen.

Mohamad Ariff membalas notis yang dihantar Mahathir dengan memaklumkan usul tersebut di bawah Perkara 27 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Namun, usul tersebut tidak dibentang pada 18 Mei, selepas sidang diadakan satu hari sahaja dengan atas dasar penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Usul tersebut sekali lagi tidak dibentang pada sesi Dewan Rakyat kali kedua yang bermula pada 13 Julai.

USUL TIDAK PERCAYA KEPADA YAB PERDANA MENTERI Saya telah bercadang untuk membawa usul tidak percaya terhadap YAB Tan...

Posted by Dr. Mahathir bin Mohamad on Selasa, 8 September 2020

Kerajaan PH runtuh pada akhir Februari setelah Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari gabungan itu dan bergabung bersama sekumpulan MP daripada PKR yang keluar parti, Mohamed Azmin Ali.

Bersama-sama pembangkang PAS, Umno, GPS dan beberapa parti lain mereka menubuhkan kerajaan persekutuan PN.

Dalam usul itu, Mahathir berkata sebab utama dia mengemukakannya adalah langkah Muhyiddin menyebabkan rakyat hilang percaya kepada PRU dalam memilih kerajan.

Mahathir juga membangkitkan penyertaan Umno dalam gabungan baru Muhyiddin.

"Saya tidak dapat terima cadangan ini kerana Najib dan UMNO yang telah merosakkan negara akan kembali jadi sebahagian daripada Kerajaan. Ini mengkhianati rakyat yang mengundi kita.

"Saya sedia terima ahli Umno yang sudah keluar dari Umno untuk menjadi ahli Bersatu dengan syarat. Tetapi kata (presiden parti) Zahid Hamidi, Umno hanya akan sertai gabungan en-bloc sebagai parti dan bukan sebagai ahli," katanya lagi dalam usul tersebut.

Lihat Komen
ADS