Malaysiakini
BERITA

Tiada sebab perlu runding dengan Filipina - Hisham

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Sep 2020, 5:57 pagi

Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan tidak akan melayan tuntutan Filipina ke atas Sabah kerana melihat tuntutan tersebut sebagai tidak berasas dan relevan.

Hishammuddin yang mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal sebelum ini, mempersoalkan kenyataan Shafie yang meminta supaya rundingan antara kedua-dua kerajaan diadakan bagi penyelesaian isu tersebut.

“Perlu difahami, tuntutan Filipina bukan sahaja tidak berasas, malah langsung tidak relevan. Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan tersebut.

“Jadi, tiada sebab mengapa kita perlu berunding dengan mereka.

“Sekiranya kita buka ruang rundingan, itu bermakna Malaysia akui tuntutan tersebut mempunyai asas. Atau sebenarnya memang Shafie anggap tuntutan Filipina berasas?” soalnya dalam hantaran di Facebook hari ini dengan memuatnaik tangkap layar laporan berita tersebut.

Difahamkan, laporan berita bertarikh 28 Ogos itu melaporkan bahawa Shafie meminta rundingan di antara kerajaan Malaysia dan Filipina diadakan kerana selagi tidak kata putus yang membabitkan kedua-dua negara, selagi itulah Filipina akan menimbulkan provokasi.

Shafie menegaskan bahawa Filipina perlu diberikan penjelasan bahawa tidak timbul lagi isu tuntutan ke atas Sabah kerana kedudukan Sabah dalam Malaysia diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Ahli Parlimen Sembrong lagi, Shafie sepatutnya bertegas dalam isu tersebut dan bukannya berlembut dengan pihak yang cuba mempersoalkan kedaulatan Sabah.

“Sebelum ini saya telah tegaskan banyak kali, tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak akan dilayan dan Sabah milik Malaysia buat selama-lamanya.

“Sebab itu, saya kecewa apabila Presiden Warisan, Shafie Apdal baru-baru ini mencadangkan agar kerajaan Malaysia berunding dengan kerajaan Filipina,” katanya.

Sebelum ini, Wisma Putra diarahkan memanggil duta besar Filipina di Kuala Lumpur bagi menjelaskan ciapan oleh setiausaha hal ehwal luarnya yang menyentuh mengenai kedaulatan Malaysia.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh Hishammuddin selepas Teodoro L Locsin Jr mengatakan di media sosial bahawa Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.

Pada masa sama, Hishammuddin juga telah menjawab laporan berita mengenai tindakan itu menerusi Twitter dengan menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mengiktiraf tuntutan asing ke atas Sabah.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.